Bermula 16 Mac lalu, single terbaharu Akim & The Majistret berjudul Stereotype telah ke udara di corong-corong radio seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Bermula 16 Mac lalu, single terbaharu Akim & The Majistret telah ke udara di corong-corong radio seluruh negara dan juga boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Apple Music dan Youtube.

Buah tangan terbaharu itu sekali lagi mempertaruhkan karya band popular itu yang merupakan hasil gandingan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq.

Stereotype diterbitkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment iaitu syarikat rakaman milik Akim dan isterinya, Stacy Anam dengan kerjasama Nova Music sebagai pengedar.

Menerusi single itu, band seramai lapan anggota itu menengahkan konsep Retro Rock EDM.

Zimi berkata, kali ini mereka mencuba konsep baru yang belum pernah dibuat lagi di Malaysia.

“Konsep dalam Stereotype itu lebih kepada stail muzik itu sendiri. Namun kami tetap mengekalkan bunyi khas kami yang selama ini membezakan kami dengan band lain,” kata individu yang mempunyai nama lengkap Zarimi Zahari.

Akim pula berkata, Stereotype mengambil tema tentang perwatakan manusia egois dan lari daripada tema cinta.

“Saya dapat idea lirik ini ketika kami duduk bercerita pengalaman masing-masing zaman sekolah dahulu.

“Lagu ni sebenarnya pasal lelaki ego tinggi, yang acah hebat, ingat dia je yang betul, macam dunia ni berputar hanya kerana dia.

“Saya percaya semua orang ada kawan perangai macam itu,” jelasnya.

Ditanya tentang metafora berbaur kritikan sosial dalam lirik Stereotype, Akim mengakui kebenarannya.

“Ya, memang ada kaitan dengan isu semasa tetapi bukan isu di Malaysia saja malah di seluruh dunia.

“Sebagai penggiat seni, saya cuba zahirkan apa yang berlaku di sekeliling kita melalui karya saya,” katanya berterus-terang.

Sementara itu, muzik video Stereotype dirakam sepenuhnya di Play K-Pop yang terletak di Jeju Jungmun Resort, Pulau Jeju di Korea Selatan.

Play K-Pop erupakan taman tema digital yang menggabungkan teknologi media baru dan muzik K-Pop.

Muzik video itu menampilkan kelainan apabila ia dirakam di ruang digital yang penuh dengan imej digital, 3D dan hologram bintang-bintang K-Pop.

Dalam pada itu, Akim & The Majistret kini bergerak sendiri dan semakin rancak merencana perjalanan seni mereka.

Tahun 2018 bermula dengan cemerlang apabila Akim & The Majistret mengadakan konsert berskala besar buat julung kalinya di pentas berprestij Esplanade, Singapura pada Januari lalu.

Ia satu pencapaian yang seharusnya dibanggakan apabila band tempatan yang baru berusia setahun jagung berjaya menawan hati peminat Kota Singa.

Tahun lalu, band yang turut dianggotai Wan sebagai pemain dram, Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua),Fairuz (pemain bass), Afiez (pemain keyboard) dan Rajwan (Digital Drum) memartabatkan muzik mereka dalam konsert perdana yang diadakan di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur

Bermula sebagai band projek pada 2014, eksperimentasi Akim & The Majistret ternyata berhasil apabila berjaya melangkah jauh hari ini dan mencipta jenama sendiri sebagai band tempatan arus perdana terunggul masa kini.

Sejak muncul dengan single berhantu Mewangi pada tahun 2014 dan album sulung mereka, Patriot pada tahun 2015, Akim & The Majistret meraih kejayaan demi kejayaan yang membanggakan termasuk dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Potret di Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30), Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 3.0). – MalaysiaGazette