Polis di England melontar amaran mana-mana penyokong Liverpool terlibat kekecohan akan dipenjarakan menjelang perlawanan Liverpool menentang Man City pada 4 April ini.

ENGLAND – Mana-mana penyokong Liverpool yang didapati memiliki suar dan piroteknik menjelang aksi suku akhir antara Liverpool dan Manchester City akan dihukum penjara.

Itu amaran polis di England terhadap para penyokong Liverpool sekiranya melakukan kekecohan semasa ketibaan the Citizen ke Anfield pada 4 April ini.

Pada Isnin lalu, Sportsmail melaporkan mengenai kebimbangan pihak pengurusan skuad Pep Guardiola mengenai rancangan sekumpulan penyokong Liverpool menyambut skuad the Kops besar-besaran pada 4 April ini.

Poster yang ditular dalam media sosial menggesa penyokong kelab Jurgen Klopp supaya berkumpul dua jam lebih awal di Anfield untuk memberi kejutan kepada pasukan pelawat dengan alat suar dan piroteknik.

Tindakan itu mengakibatkan Man City telah menyatakan kebimbangan dari aspek keselamatan pasukan kepada pihak berkuasa supaya tampil menjamin keselamatan pasukan itu.

Kini polis di London telah menghantar amaran tegas terhadap penyokong tegar Liverpool supaya menjaga kelakuan mereka menjelang pertembungan penting itu.

Superintendan Paul White berkata: “Kami sedia maklum mengenai rancangan penyokong Liverpool yang mahu berkumpul menjelang Liga Juara-Juara Eropah menyaksikan pertembungan Liverpool dan Manchester City.

“Rancangan hendak menggunakan suar dan piroteknik menjadi perkara yang perlu diambil serius polis mengelak sebarang insiden buruk.

“Kami menyokong kelab dalam menangani insiden buruk dan akan menagih kerjasama penyokong dalam hal ini.

“Polis dan mahkamah akan mengambil serius sebarang bentuk perbuatan yang melanggar undang-undang dan boleh disabit kesalahan dan dihukum penjara (penyokong Liverpool).

“Saya mahu mengingatkan secara tegas kepada penyokong Liverpool undang-undang bukan sahaja digunapakai di dalam stadium, tetapi juga di sekitar stadium,” katanya.

White juga menegaskan Polis dari kedua dua daerah akan terlibat dalam operasi pencegahan jenayah secara komprehensif pada hari perlawanan

Katanya pihak berkuasa akan memastikan suasana sepanjang perlawanan terkawal dan menjamin keselamatan penonton yang datang ke stadium dengan kerjasama penyokong kedua-dua kelab.

“Polis akan kera kekuatan anggota tambahan pada hari perlawanan bagi memastikan segalanya terkawal,” katanya.- MalaysiaGazette