Azharuddin Abdul Rahman
Datuk Azharuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membidas Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaannya bahawa pesawat MH370 mungkin ‘diambil alih’ dari kawalan jauh dalam usaha menggagalkan cubaan rampasan.

Pengerusi CAAM, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, tindakan bekas perdana menteri itu hanya memberi tekanan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Respon MH370 menganggap kenyataan Mahathir hanya spekulasi tanpa bukti kukuh.

“Kami ingin menekankan bahawa adalah tidak wajar untuk mengspekulasikan teori MH370 tanpa bukti yang belum disahkan benar.

“Dakwaan sebegitu sememangnya akan menjejaskan dan membawa tekanan kepada keluarga mangsa MH370.

“Kerajaan Malaysia mempertingkatkan usaha dan penuh komited dalam pencarian MJ370,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pencarian terkini dilakukan Ocean Infinity di Lautan Hindi.

Azharuddin menjelaskan, objektif utama pihaknya adalah untuk mendapatkan bangkai pesawat dan rakaman kotak hitam untuk mencari jawapan kenapa pesawat itu mengakhiri penerbangan di selatan Lautan Hindi.

“Selagi bukti daripada serpihan badan pesawat dan kotak hitam tidak ditemui, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak luar membuat kesimpulan berdasarkan teori konspirasi yang tidak berasas.

“Dakwaan tidak berasas daripada Dr. Mahathir juga boleh dianggap sebagai memperlekeh dan menjejaskan segala usaha dan inisitiaf yang sedang dilaksanakan pasukan tenaga pakar dan profesional dalam menjejaki pesawat selama empat tahun ini,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam satu temubual eksklusif bersama ABC News Australia membangkitkan mengenai teori kawalan dari jarak jauh itu. – MalaysiaGazette