Loga Bala Mohan

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MyPPP, Datuk Loga Bala dikhabarkan berminat untuk bertanding kerusi Parlimen Segambut yang juga merupakan antara kubu kuat DAP selama ini.

Malaysia Gazette difahamkan, media-media sosial rancak memainkan laporan yang mendakwa Loga Bala yang juga merupakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan mungkin akan diberikan peluang mencuba nasib di kawasan itu.

Bagaimanapun, pada masa yang sama dilaporkan hasrat itu belum mendapat ‘restu’ daripada kepimpinan tertinggi terutamanya Presiden, Tan Sri M. Kavyeas.

Desas desus bermula apabila Loga Bala sendiri sebelum ini menyatakan ‘hasrat’ alangkah baiknya jika ada ahli Parlimen dalam kalangan pemimpin India di Kuala Lumpur pada PRU-14 ini kepada sebuah portal sebelum ini.

Jelas Loga Bala dalam temuramah tersebut berkata, sudah tiba masanya untuk masyarakat India di Kuala Lumpur mempunyai wakil di Parlimen dan tidak kisah sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, senator dua penggal itu dikhabarkan akan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, keputusan sama ada beliau dipilih untuk bertanding atau tidak bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kayveas.

“Saya tidak boleh kata apa-apa sebab mereka yang buat keputusan. Mereka belum cakap apa-apa pada saya.

“Buat masa ini saya tidak ada kerusi. Kami (MyPPP) tidak diberikan kerusi tertentu. Tetapi jika diberikan peluang, saya akan berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada portal terbabit awal tahun ini.

Menurut sumber kepada Malaysia Gazette, tawaran untuk MyPPP bertanding di kerusi kubu DAP mungkin akan ditolak selepas mesyuarat parti itu hari ini.

Ini kerana parti komponen berpendapat tidak ada guna mencuba nasib di kawasan kubu kuat DAP.

 

Dalam pada itu, Penyandang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh akan bertanding di kerusi Parlimen Segambut menggantikan Lim Lip Eng yang akan ke Kepong menggantikan penyandang terdahulu, Tan Seng Giaw.

Hannah Yeoh

Hannah berpindah daripada DUN Subang Jaya ke Parlimen buat kali pertama dalam karier politiknya.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada 11 kawasan Parlimen.

DAP memegang lima kerusi iaitu Bukit Bintang, Cheras, Seputeh, Segambut dan Kepong sementara PKR ada tiga kerusi di Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Batu.

Dua lagi kerusi milik UMNO di Setiawangsa dan Titiwangsa. – Malaysia Gazette