Ab. Aziz Kaprawi

JOHOR BAHRU – Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang dilancar oleh Pengerusi BN negeri hari ini disifatkan sebagai akujanji lengkap untuk rakyat negeri itu.

Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Seri Abdul Aziz Kaprawi berkata, rakyat Johor pasti akan berbangga dengan akujanji BN kerana mereka sememangnya mengharapkan pembangunan yang ketika ini cukup hebat dapat dilihat di negeri itu.

Menurutnya, janji BN negeri yang jika terus diberi mandat untuk mentadbir Johor mahu membangunkan negeri ini hingga bertaraf antarabangsa benar-benar memukau hati rakyat untuk terus menyokong parti yang telah banyak berjasa itu.

“Saya yakin rakyat Johor akan teruja dengan program-program baharu yang melibatkan projek pembinaan 100,000 rumah mampu milik serta modal insan dengan peluang pekerjaan yang bertambah.

“Macam di tempat saya di Batu Pahat pembangunan industri tempatan mahu diperkasakan dan ini dapat saya rasakan rakyat akan lebih yakin dengan khidmat BN yang semakin cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan BN negeri mempunyai manifestasi untuk melangkaui Singapura khusus terhadap anak-anak muda.

Ujarnya, anak-anak muda di Johor diberi perhatian apabila banyak lagi peluang pekerjaan baharu disediakan di negeri itu agar tidak ada lagi penghijarahan generasi muda mencari nafkah di negara jirannya.

“Ini memberi mesej bahawa kerajaan BN benar-benar memberi peluang kepada generasi akan datang.

“Pembangunan di Johor tidak pernah berhenti dan saya pasti anak-anak muda akan teruja dengannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette