Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Hospital Pendang yang akan bermula pembinaan pada 7 Mei 2018. foto: Hakim

PENDANG – Selepas bertahun-tahun tertangguh pembinaan projek Hospital Pendang, akhirnya penantian rakyat kawasan tersebut berakhir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan pembinaan projek yang akan bermula 7 Mei depan.

Najib berkata, projek tersebut bukan disebabkan musim pilihan raya semata-mata dan sebagai komitmen kerajaan, syarikat pemaju sudah dilantik dan kerja-kerja pembinaan akan bermula dengan serta-merta di kawasan seluas 22 ekar itu.

“Projek Hospital Pendang ini sudah lama dinantikan, hari ini saya boleh mengesahkan bahawa saya pastikan penantian yang begitu lama sudah berakhir. 

“Kita cari jalan dengan lantik kontraktor untuk merekabentuk dan membina dengan kaedah paling sesuai supaya dapat melancarkan projek hospital ini… saya tidak mahu dilancarkan selagi tidak ada pelan lantikan kontraktor kerana saya takut orang ingat ini satu projek politik,” kata beliau semasa majlis bersama warga rakyat di Pendang hari ini.

Projek bernilai RM211 juta itu akan dibangunkan oleh pemaju Seri Libana PPC JV Sdn. Bhd., sebuah syarikat usahasama antara Seri Libana Sdn. Bhd. dengan Putra Perdana Construction Sdn. Bhd. dan dijangka siap menjelang November 2021.

Projek ini mempunyai kapasiti sebanyak 126 katil serta kemudahan tempat letak kereta sebanyak 471 petak.

Projek ini mempunyai blok hospital dengan perkhidmatan pesakit dalam dan luar termasuk kemalangan dan kecemasan, penjagaan perubatan dan pembedahan serta 13 klinik pakar dan dua bilik pembedahan.

Antara klinik pakar adalah unit hemodialisis, obsterik dan ginekologi dan beberapa unit lain.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana melaksanakan pembinaan projek tersebut dan menggesa supaya rakyat mengekalkan kerajaan sedia ada demi masa depan penduduk Kedah khususnya. – MalaysiaGazette