KUALA LUMPUR – Tidak perlu tunggu memiliki kediaman besar baru bersemangat hendak menghiasinya. Sebaliknya menghuni kediaman yang terhad seperti flat kos rendah bukan menjadi penghalang untuk menerap idea dekorasi terbaik.

Tambahan pula memilik sebuah flat dengan keluasan sekadar 600 kaki persegi di tengah bandaraya Kuala Lumpur, ia sudah dikira cukup bertuah pada waktu ini.

Ini juga merupakan aset berharga kerana tidak perlu bersusah payah mencari kediaman baharu apatah lagi harga rumah sangat mahal di kala ini.

Apa yang penting, keutamaan dekorasi perlu difokuskan kepada penataan ringkas bersesuaian dengan saiz ruang sedia ada.

Namun tidak kira apa juga jenis kediaman yang didiami, ia mestilah selesa dan dekorasi yang diterapkan memberi gambaran personaliti diri.

Konsep susun atur ruang menggunakan ‘mix and match’. Tidak perlukan set perabot lengkap dan aksesori juga disuai padankan dengan konsep.

Keutamaan dalam menata hias kediaman flat ialah mengelakkan kesaratan dan kesesakan rumah. Laluan trafik perlu selesa apatah lagi anak mereka sedang membesar.

Bagi pereka hiasan dalaman, Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff berkata, bajet dekorasi rumah flat kos rendah bukan penghalang lagi buat pemilik lagi.

Ini kerana kata pengasas Gemilang Irsyad Resources, pihaknya mendekorasi rumah mengikut bajet yang diberikan pelanggan.

“Kami berpengalaman  mengubahsuai rumah dan membuat hiasan dalaman rumah daripada rumah yang bersaiz rumah flat, kondominium hinggalah kepada rumah banglo dan teres.

“Kos tersebut bergantung kepada bajet pelanggan dan melalui kreati­viti kumpulan kami, projek ubah suai rumah pangsa yang telah dikendalikan sebelum ini telah menjadikan ia memiliki ciri-ciri kediaman bertaraf premium, selesa, bergaya, lebih moden dan memenuhi cita rasa pelanggan masa kini.

“Jika ia mahu dijual kepada pasaran terbuka, rumah yang telah siap diubahsuai itu mampu memberi kadar keuntungan berlipat ganda kepada pelabur,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Gemilang Irsyad Resources merupakan syarikat bumiputera yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan mengubah suai, dekorasi hiasan dalaman rumah, mengunjurkan nilai kontrak yang bakal dikendali bakal meningkat sekali ganda pada tahun ini.

Badrul Hisham menambah, tempoh siapnya projek ubahsuai projek bergantung kepada keluasan rumah kediaman tersebut tetapi bagi rumah flat, ia hanya melibatkan masa selama tiga ming­gu.

“Kami turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan kelulusan daripada kerja-kerja yang dilaksanakan,” terangnya.

Dalam pada itu, beliau yakin syarikatnya mencapai nilai kontrak sebanyak RM2.6 juta pada tahun ini.

Menurut beliau, pertumbuhan ini diyakini bakal dicapai syarikat yang te­lah berkecimpung dalam industri ini sejak 10 tahun lalu melalui faktor kepesatan pembangunan projek perumahan dan kehendak pengguna yang mahu memiliki kediaman yang cantik, selesa serta memenuhi gaya hidup masing-masing.

Menurut beliau, bagi meme­nuhi permintaan yang semakin bertambah kini, syarikatnya memiliki dua kumpulan utama yang bertanggungjawab terhadap kerja dalam bidang hiasan dalaman dan juga bidang dekorasi rumah.

Tumpuan syarikat kini ialah di pasaran Lembah Klang dan juga di Pulau Pinang.

Untuk maklumat lanjut tentang perkhidmtan ubahsuai dan dekorasi, orang boleh melayari Facebook Dr. Bad Yusoff.  – MalaysiaGazette