SINGAPURA – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini selepas China dan Amerika Syarikat ‘menangguhkan’ perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Niaga hadapan Brent didagangkan AS$78.78 setong naik 0.5 peratus daripada harga penutup. Brent memecah rekod AS$80 setong buat kali pertama sejak November 2014 pada minggu lalu.

West Texas Intermediate (WTI) pula diniagakan AS$71.68 setong, naik 0.6 peratus.

Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China ‘ditangguhkan’ selepas ekonomi terbesar di dunia bersetuju untuk menggugurkan ancaman tarif.

“Keputusan Amerika Syarikat dan China itu memberi impak positif bagi harga minyak memandangkan kemungkinan perang perdagangan akan menimbulkan tamparan besar kepada pertumbuhan global,” kata Stephen Innes, ketua perdagangan untuk Asia Pasifik broker niaga hadapan Oanda di Singapura.- MalaysiaGazette