Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Robert Kuok diserbu pihak media selepas menghadiri mesyuarat dan meninggalkan Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.
Robert Kuok diserbu pihak media selepas menghadiri mesyuarat dan meninggalkan Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Hartawan Robert Kuok memuji Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah menyelamatkan negara.

“Saya tabik anda. Anda telah menyelamatkan negara,” kata hartawan yang berpusat di Hong Kong itu ketika mengunjungi Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir kemudian menepuk perlahan bahu Kuok lalu menjawab sambil tersenyum: “Kami memerlukan bantuan anda sekarang.’’

Klip video serta beberapa keping gambar pertemuan itu dimuatnaik dalam akaun Twitter dan Facebook perdana menteri.

Kuok ialah seorang daripada anggota Majlis Penasihat Kerajaan dilantik Dr Mahathir pada 12 Mei apabila beliau mengumumkan penubuhannya.

Kuok, 94, menghadiri mesyuarat pertama Majlis Penasihat Kerajaan semalam. Tugasnya ialah untuk menasihatkan kerajaan menghenai hal ehwal ekonomi dan kewangan. – Bernama