Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda bebas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas beliau disifatkan sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.

Demikian kata Guan Eng sambil sedia disaman ahli korporat itu meskipun Arul Kanda sebelum ini didakwanya banyak menabur janji sepanjang menerajui syarikat pelaburan nasional itu ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Arul Kanda buat banyak janji, kalau dia cakap nak saman, kita akan tunggu dia.

“Sudah tentu saya tidak tahu sama ada dia akan buat begitu (saman) tapi dia bebas melakukannya,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng berjalan keluar selepas sidang media berkenaan isu terkini 1MDB dan kewangan negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 MEI 2018

Beliau mengulas kenyataan Arul Kanda semalam yang mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang susulan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan presiden 1MDB itu sebagai tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

Menurut Guan Eng, Arul Kanda memberitahunya beliau tidak pasti berkaitan nilai pelaburan ‘unit dana’ AS$2.5 bilion (RM9.8 bilion) atau sama ada ia benar-benar wujud.

Ketika ditanya tentang kewajaran Arul Kanda dipecat daripada 1MDB, Guan Eng berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Saya tidak pecat Peguam Negara, saya tiada kuasa untuk pecat Peguam Negara, (begitu juga Arul Kanda).

“Biar kita ambil langkah demi langkah. Jika ada perkembangan kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

Katanya lagi, Arul Kanda perlu menyedari bahawa beliau satu-satu kakitangan 1MDB yang masih ada pada masa ini dan syarikat pelaburan itu.

“Dalam fikiran dia mungkin dia adalah pekerja 1MDB dan dia adalah satu-satunya kakitangan 1MDB

“1MDB sekarang ini dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette