Ambrin Buang

KUALA LUMPUR – Tan Sri Ambrin Buang mengakui Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dibuat atas keputusannya bagi mengelakkan maklumat laporan interim itu bocor.

Bagaimanapun, katanya, klasifikasi itu bertujuan untuk sementara waktu sehingga Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC) menyelesaikan prosiding dan perbincangan tentang penemuan isu-isu kewangan 1MDB.

Malah, Ambrin juga menafikan beliau diberi tekanan untuk menjadikan dokumen itu sebagai OSA.

“Saya fikir anda kena kembali ke sejarah, kerana sebelum laporan akhir dikeluarkan, ada laporan interim. Bahkan laporan interim dikemukakan kepada PAC.

“Jadi, untuk tidak menganggu prosiding PAC, saya memutuskan laporan itu diletakkan di bawah OSA, tetapi dengan niat, apabila PAC selesai perbincangan mereka, tidak ada keperluan lagi untuk meletakkan dokumen itu di bawah OSA,” katanya kepada Malay Mail.

Ambrin berkata, PAC yang memutuskan laporan jabatannya bukan untuk orang awam dan beliau harus menghormati keputusan itu, seperti yang dibuat oleh jawatankuasa Parlimen itu.

“Niat asal kami, kami berpendapat PAC akan menambah laporan kami dalam laporan mereka, tetapi mereka memutuskan tidak berbuat demikian,” kata Ambrin.

Pada bulan Mac 2016, PAC memaklumkan langkah kerajaan mengklasifikasikan laporan audit diletakkan di bawah OSA untuk mencegah maklumat dibocorkan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan supaya status OSA bagi Laporan Audit 1MDB dijadikan dokumen terbuka. – MalaysiaGazette