Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.

KUALA LUMPUR – Gesaan Datuk A.Kadir Jasin yang mahu Majlis Raja-raja Melayu dikaji semula susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal mendapat campur tangan institusi DiRaja itu berhubung kes 1MDB merupakan satu ugutan dan hasutan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sepatutnya Kadir menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu berhubung aduan SPRM itu.

“Tulisan Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (MPK-PH) ini ia sangat jelas sekali bersifat ugutan dan hasutan.

“Ia satu isyarat dan amaran kepada Raja-Raja Melayu apabila beliau secara terang terangan membangkitkan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat! Lebih tepat lagi ianya berbaur hasutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan wartawan veteran itu semalam yang menggesa Kerajaan PH menilai semula tindak balas Majlis Raja-raja Melayu selepas SPRM mengadu hampa dengan tindak balas institusi DiRaja itu berhubung aduan berkenaan 1MDB.

Dalam sidang media, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada 22 Mei lalu mendakwa SPRM hampa dalam usaha mendapatkan campur tangan Majlis Raja-raja.

Shukri mendedahkan pihaknya menemui Majlis Raja-raja dua kali untuk memaklumkan siasatan berkaitan 1MDB dan anak syarikat, SRC Interntional, yang dikaitkan dengan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Annuar juga mendakwa tindakan Kadir itu sekali gus memperlihatkan MPK-PH itu lebih berpengaruh dan tinggi daripada Kabinet hingga boleh bertindak serta mengeluarkan kenyataan sebegitu.

“Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baharu sedang bergerak ke arah reformasi Institusi Raja dan cuba meminda Perlembagaan seperti mana pernah dilakukan pada awal 90an yang mengheret kita dalam pertembungan raja dan rakyat?

“Apakah ini suara Kadir atau MPK-PH atau suara orang berkuasa yang lain. Apakah Kadir merasakan beliau kebal dan dilindungi untuk mengeluarkan kenyataan sebegini?” soalnya.

Annuar berkata, orang Melayu tidak akan membiarkan peristiwa 90an berulang dan beliau berharap kerajaan baharu ini tidak menggugat kedudukan Raja-Raja Melauu, agama Islam dan Perlembagaan.

“Sebarang usaha meminda Perlembagaan seperti mana yang cuba dibayangkan oleh Kadir akan kita tentang habis-habisan.

“Kita juga ingin mengingatkan Kadir bahawa mandat daripada pengundi Melayu tidak bersama PH. Statistik jelas menunjukkan lebih dari 70 peratus undi orang Melayu tidak memilih PH,” katanya.

Sebaliknya kata Annuar, PH perlu menumpukan usaha untuk menunaikan segala janji pilihan raya mereka dalam 100 hari pertama yang kini belum sepenuhnya ditunaikan.

“Rakyat sedang menunggu dengan sabar penghapusan GST, tol, harga minyak RM1.50 seliter, pendidikan percuma dan penurunan harga barang.

“Harapan rakyat perlu ditunaikan dan bukannya ugutan terhadap institusi raja atau percubaan meminda Perlembagaan.

“Saya harap pihak berwajib tidak akan merasa takut untuk bersikap adil menjalankan siasatan ke atas tulisan Kadir dan berharap keluhuran undang-undang dapat dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette.