Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mustahil bagi perdana menteri sebelumnya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu akan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwanya dalam wawancara baru-baru ini.
Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA- Kerajaan mempersoalkan kesetiaan penjawat awam yang berkempen untuk Barisan Nasional (BN) semasa PRU-14 lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu ditubuhkan selepas berjaya menumbangkan BN perlu mentadbir cara mereka dan tidak pasti apakah penjawat-penjawat awam berkenaan boleh memberikan kerjasama.

Bagaimanapun menurut Mahathir, kerajaan tidak akan menghukum mereka tanpa sebab yang kukuh sebaliknya mahu mengetahui sejauh mana kesetiaan penjawat-penjawat awam berkenaan kepada kerajaan baharu.

“Sepatutnya mereka tidak terlibat dan kita mahu menentukan sama ada boleh mendapat kerjasama daripada mereka kerana kerajaan sudah bertukar.

“Mereka sepatutnya menjalankan tugas mengikut kerajaan yang memerintah tetapi tidak boleh menjalankan kerja parti walaupun mereka boleh mengundi mana-mana parti semasa pilihan raya,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Mahathir, kerajaan mempunyai bukti rakaman yang menunjukkan terdapat penjawat awam yang turun berkempen malah ada yang memakai baju parti BN.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah tepat penjawat awam yang turun berkempen untuk BN sebaliknya berkata; “Jumlahnya agak banyak.”

Dalam pada itu, Mahathir yang juga Pengerusi PH menjelaskan, 17000 penjawat awam lantikan politik yang diberhentikan tetap menerima habuan hari raya mereka.

“Kami bukan mahu menganiaya orang tetapi jawatan mereka tidak diperlukan tetapi sekadar untuk memberi kerja kepada ahli parti (kerajaan BN),” katanya lagi.

Perdana Menteri sebelum ini membuat kenyataan 17,000 penjawat awam lantikan politik akan diberhentikan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Bagaimanapun, bagi penjawat awam bergred rendah seperti pemandu akan dikekalkan.-MalaysiaGazette