Dr. Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama sebahagian orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang B, Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2018

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan urusan penyertaan bekas pemimpin UMNO ke dalam Pakatan Harapan kepada pimpinan Perak sekiranya wujud permohonan dari semasa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, terpulang kepada pimpinan PH Perak untuk mempertimbangkan permohonan itu yang kemudiannya akan dibawa kepada pimpinan pusat untuk proses selanjutnya.

“Sudah pasti itu adalah pilihan beliau yang mahu sertai kita demi perubahan untuk negara.

“Kita serahkan kepada PH negeri mempertimbangkan permohonan itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai,  Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang mengumumkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas menyokong Kerajaan PH.

Noor Azmi berkata, selain faktor penolakan UMNO terhadap dirinya, keputusan keluar parti itu turut dibuat mengambil kira kepentingan rakyat, terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan penduduk Parlimen Bagan Serai.

Sementera itu, mengulas isu penahanan peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim lewat malam semalam, beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa itu untuk mengambil tindakan lanjut.

“Saya tidak tahu (Siti Kassim), saya serahkan kepada pihak polis dan saya sibuk dengan suami saya malam tadi. Saya tidak ikuti berita itu saya minta maaf,” katanya lagi. – MalaysiaGazette