Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ibunya, Tun Rahah Mohd Noah (kiri) dan isteri, Datin Seri Ros­mah Mansor (kanan) beramah mesra dengan ahli keluarga kemalangan pesawat MH17 pada majlis doa selamat dan solat hajat sempena ulangtahun kelahiran beliau di kediamannya Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai hak untuk membatalkan segala projek untuk rakyat yang dirancang oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, mereka perlu menggantikannya dengan sesuatu yang lebih memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jangan kerana segala yang dibuat oleh kerajaan terdahulu kerajaan sekarang ini hendak hentikan segala kebaikan untuk rakyat.

“Rakyat Malaysia perlu bangkit dan tuntut segala janji yang dibuat oleh kerajaan sekarang,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan hari ulang tahun beliau yang ke-65 di kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta di sini malam ini.

Turut diraikan pada majlis itu kira-kira 10 anggota waris tragedi pesawat malang MH17 yang terhempas ditembak di Donetsk, Ukraine pada 2014.

Najib berkata, ketika beliau menerajui kerajaan sebelum ini segala janji untuk rakyat ditunaikan.

Langkah itu dilakukan kerana beliau tahu kemampuan kerajaan untuk menunaikan segala janjinya pada ketika itu.

“Masa saya menjadi Perdana Menteri saya tunaikan segala janji kepada rakyat kerana saya tahu keupayaan kerajaan.

“Saya tak sanggup berdepan dengan Allah SWT kalau saya tak tunai janji kepada rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette