Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

SHAH ALAM – Datuk Lokman Noor Adam yakin pengundi dalam di kawasan Sungai Kandis boleh menerima kehadirannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu walaupun beliau bukan penduduk tempatan.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, dalam pertemuannya dengan masyarakat DUN berkenaan sejak dua hari lalu, ada yang mula menerimanya dan mengharapkan beliau dapat membela mereka.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menjelaskan, isu beliau calon luar hanya dimainkan oleh pihak lawan, iaitu PKR dan Pakatan Harapan (PH) sedangkan mereka lupa, Ahli Parlimen Kota Raja yang mana DUN Sungai Kandis di bawahnya, Mohamad Sabu juga orang luar.

“Sebelum ini BN dan UMNO adalah parti yang memerintah kerajaan pusat, trend meletakkan calon luar di DUN atau Parlimen tidak boleh diterima oleh rakyat dan masyarakat setempat.

“Sekarang, BN dan UMNO bukan lagi kerajaan. Kami adalah pembangkang, dan trend meletakkan calon luar boleh diterima oleh pengundi tempatan,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout di sekitar Kampung Bukit Naga, dekat sini, hari ini.

Hari kedua kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Lokman memulakan program walkabout di kampung itu seawal jam 7 pagi, dengan bersarapan pagi di kedai Wak Dol, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Naga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naga.

Dalam perjumpaan dengan penduduk juga, Lokman memberitahu, banyak aduan dan masalah diterimanya ialah kesukaran penduduk tempatan untuk mendapatkan lesen berniaga.

Walaupun, mereka memohon lesen untuk berniaga secara kecil-kecilan daripada pihak berkuasa tempatan tetapi proses kelulusan mengambil masa agak lama.

“Jika saya menang dalam PRK ini, saya akan perjuangkan perkara ini di Dewan Undangan Negeri dan akan memastikan PBT mengutamakan anak tempatan dalam kelulusan lesen berniaga,” katanya.

Selepas ini, beliau akan singgah di surau berdekatan untuk solat Zohor, sebelum meneruskan program ziarah di sekitar Kampung Bukit Naga dan Seri Gambut.

Manakala jam 8.30 malam ini, beliau akan menghadiri majlis pengenalan calon kepada Jentera PRK Sungai Kandis. – MalaysiaGazette