Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (empat kiri) melihat permohonan pas pekerja untuk Ekspatriat yang berkhidmat di negara ini melalui sistem ESD Satellite Center (ESC) yang baru dilancarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Kerajaan telah memendekkan tempoh permohonan ekspatriat yang mahu berkhidmat di Malaysia mendapatkan pelekat pas Imigresen.

Ia boleh didapatkan dalam sehari selepas mereka menjejakkan kaki ke negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurutnya, ia susulan penubuhan Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat atau Expatriate Service Division (ESD) yang diperkenalkan mulai hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

ESD akan mempercepatkan proses pemberian pelekat Pas Imigresen itu dalam sehari sahaja berbanding 30 hari sebelum ini.

Katanya, pembukaan ESD ini akan membawa kepada satu perubahan proses kerja dan penambahbaikan perkhidmatan Imigresen yang amat signifikan terhadap ekspatriat.

“Mengikut sistem lama selama 30 hari yang dilaksanakan sebelum ini, mereka mendapat surat kelulusan pas Imigresen semasa berada di luar negara dan selepas itu pas khas 30 hari diberikan untuk dirujuk ke pejabat Imigresen di KLIA.

“Kemudian majikan mereka perlu temujanji online untuk mendapatkan slot bagi tujuan pengeluaranpelekat pas Imigresen itu yang mengkehendaki majikan hadir ke pejabat Imigresen dan membuat bayaran di kaunter dan barulah pelekat pas itu akan dikeluarkan.

“Ini menjadikan ia menjadi satu perkara yang agak merumitkan kepada mereka (ekspatriat) kerana mereka hanya masuk berurusan selama dua minggu di negara ini.

“Maka, dalam kajian yang dilakukan kita mempercepatkan proses pemberian pelekat pas Imigresen supaya ia lebih mesra untuk semua ekspatriat dan sistem lebih pantas dari mana mana sistem di dunia ini,” katanya selepas hadir merasmikan pusat tersebut di KLIA hari ini.

Hamzah juga telah menguji keberkesanan ESD dengan seorang pekerja daripada sebuah kilang pembuatan besi yang mana mendapati pekerja itu mengambil tiket dan terus pergi ke kaunter di Pusat Satelit tadi dalam masa  tidak sampai seminit sudah mendapatkan pelekat Pas Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daudb menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran ESD Satellite Center (ESC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2021.

Ditanya sama ada kemudahan satelit berkenaan akan diperluaskan di pintu masuk lain, beliau berkata,buat masa ini kemudahan itu akan digunakan di KLIA kerana kebanyakan ekspatriat yang datang ke negara adalah melalui pintu masuk udara.

Namun, pihaknya akan melihat potensi kemasukan ekspatriat menerusi pintu KLIA2.

“Jika wujud potensi kemasukan ekspatriat agak ramai menerusi pintu KLIA2 maka tidak tolak kemungkinan kita lihat potensi buka pusat satelit ini di sana,” ujarnya.

Mengenai kategori ekspatriat yang boleh menggunakan kemudahan satelit ESD berkenaan, Hamzah menjelaskan,  ekspatriat yang dibenarkan masuk ke dalam negara ini tertakluk dengan syarat kategori yang ditetapkan.

Katanya, ekspatriat kategori 1, 2 dan tiga masih dibenarkan menggunakan kemudahan berkenaan sehingga kerajaan menetapkan konsep jenis ekspatriat yang dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut pada masa depan.

“Setakat ini ESD akan memberi perkhidmatan kepada ekspatriat Kategori 1 (EP1) dan Kategori 2 (EP2) iaitu mereka yang memegang jawatan pengurusan tertinggi termasuk jawatan C – suite seperti CEO, CFO, COO dan sebagainya.

“Mengikut statistik JIM buat masa ini terdapat lebih 140,000 ekspatriat termasuk tanggungan mereka manakala sebanyak 86,280 lagi adalah ekspatriat aktif. Daripada jumlah ini ekspatriat daripada Kategori 1 (EP1) yang memegang jawatan pengurusan tertinggi ialah sebanyak 40,948.

“Justeru ekspatriat warganegara India adalah yang tertinggi bekerja dan berada di Malaysia diikuti warganegara China, Japan, Philippines dan Indonesia,” tegasnya.

Hamzah juga menyatakan kementerian sedang melaksanakan kajian komprehensif melibatkan ekspatriat termasuk mengkaji jawatan-jawatan ekspatriat berprestasi tinggi untuk memenuhi keperluan pemindahan kepakaran dan teknologi ke negara ini.

“Kita mengkaji status ekspatriat mana boleh menggunakan kemudahan ini dan yang berkualiti tinggi sahaja akan diberikan pas ekspatriat untuk memastikan keutamaan diberikan kepada talent tempatan.

“Saya berharap selepas kajian itu dilaksanakan yakin pada akhir Disember ini nanti kita akan mengumumkan status dan jenis ekspatriat yang akan diberikan kemudahan dan keistimewaan ini… tak lojik jika seseorang digelar ekspatriat jika memperoleh pendapatan RM3,000 dan RM5,000 di negara ini,” jelasnya lagi.-MalaysiaGazette