JOHOR BAHRU, 22 Julai -- Puteri Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah menjelang perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 14 Ogos ini. Perkahwinan mereka diumumkan pada 15 Julai lalu. Istiadat pertunangan akan diadakan pada pukul 10 pagi pada 14 Ogos di Istana Bukit Serene dikuti dengan istiadat nikah, manakala upacara persandingan akan diadakan pada jam 8 malam hari yang sama di Bilik Singgahsana , Istana Besar. Tunku Tun Aminah adalah anakanda kedua daripada enam beradik dan satu-satunya anak perempaun kepada Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. Bakal suaminya atau nama asal Dennis Verbaas pula dilahirkan di Lisse, sebuah bandar berhampiran Amsterdam Belanda. EMBARGO - (Strictly For Publication Only After 12.01am on Sunday 23 July 2017) --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Seperti yang diketahui umum, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan warga Belanda, Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini.

Apa yang pasti, senarai tetamu pasti didominasi oleh nama-nama kerabat diraja, ahli-ahli politik, pegawai kanan kerajaan negeri dan ahli perniagaan terkemuka.

Namun dalam kalangan mereka terdapat juga sekumpulan orang yang mempunyai tempat yang istimewa di hati puteri tunggal Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu iaitu kakitangan istana yang menjaga dan berada di samping beliau sejak zaman kanak-kanak.

Ini termasuk pelatih kuda yang mengajar Tunku Aminah, pemandu yang membawanya ke sekolah dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) serta pengawal peribadi yang melindungi Keluarga DiRaja.

“Saya membesar bersama orang-orang ini dan mereka sangat istimewa buat saya. Saya mahu mereka semua berada di hari perkahwinan untuk berkongsi kebahagiaan saya, “kata puteri itu kepada Royal Press Office dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tunku Tun Aminah merupakan satu-satunya anak perempuan Sultan dan Permaisuri Johor dan membesar dengan lima adik-beradik lelaki di Istana Pasir Pelangi.

“Pemandu-pemandu dan pengawal peribadi yang menghantar saya akan sering mengingatkan bahawa saya adalah satu-satunya puteri Tuanku Sultan dan menasihatkan saya untuk menjadi seorang yang baik.

“Setiap petang selepas sekolah, saya bersama adik-beradik saya akan pergi bermain dengan pelatih-pelatih kuda dan menjamu selera di warung yang disediakan untuk mereka.

“Selain pelatih-pelatih kuda, saya juga akan menjemput kakitangan istana lain yang menjaga kami. Mereka adalah sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya dan telah mengajar saya nilai-nilai untuk berkhidmat dengan berdedikasi, kesetiaan dan kebaikan,” kata Tunku Aminah.

Sebagai hadiah sempena perkahwinan itu, kakitangan yang sudah lama berkhidmat akan menerima cenderahati khas yang direka sendiri oleh puteri Sultan Johor itu. – MalaysiaGazette