“Jangan jadikan ibu bapa seperti ATM,” beginilah bunyi protes empat orang ibu di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

Sasaran mereka bukan kementerian tetapi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Chua di Selangor.

Isunya adalah berhubung pembelian 10 buah buku latihan garis tunggal yang berharga RM8 atau 80 sen setiap satu.

‎Ibu berkenaan turut mempertikaikan pihak sekolah menambahkan berat beg sekolah murid semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Dalam senarai buku yang diedarkan kepada media, buku latihan itu dikatakan adalah ditetapkan Jabatan Pelajaran dan hasil jualan akan digunakan untuk Dana Hari Guru 2017.

China Press melaporkan, jumlah buku kerja dan buku latihan yang banyak telah membebankan ibu bapa.

Berikutan daripadanya, empat orang ibu telah bertandang ke Kementerian Pendidikan dan mendapat pengesahan bahawa buku latihan itu tidak diwajibkan Kementerian Pendidikan.

Pengadu berkenaan turut mempertikaikan buku latihan dengan cetakan lencana sekolah itu yang berharga 80 sen senaskhah berbanding harga biasa sebanyak 40 sen senaskhah di luar sekolah.

Ibu bapa mengadu pihak sekolah turut menghantar senarai bahan bacaan tambahan yang membebankan ibu bapa.

Guru Besar SJKC Sungai Chua menjelaskan buku latihan itu dicetak oleh satu jawatankuasa membabitkan guru-guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) di Selangor untuk mengumpul dana bagi menganjurkan sambutan hari guru.

SJKC Sungai Chua pula membantu menjual buku latihan itu sebagai tanda sokongan.