Suasana orang ramai yang mengambil peluang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama operasi. foto SAFWAN MANSOR, 16 DISEMBER 2016
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama bagi laluan Sungai Buloh-Semantan yang memulakan operasinya secara rasmi hari ini berjalan lancar.

Orang ramai mengambil kesempatan mencuba mod pengangkutan terbaharu itu sejak operasi dimulakan 6 pagi tadi melalui 12 stesen.

Tambahan pula, kerajaan memberikan tambang percuma menaiki MRT mulai hari ini hingga 16 Jan serta tambang percuma bagi kegunaan bas pengantara sebagai hadiah untuk rakyat.

Perjalanan sejauh 21km dari Sungai Buloh ke Semantan itu melalui Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara dan sebaliknya.

Eksekutif IT Adam Othman, 32, berkata MRT boleh membantunya menjimat kos pengangkutan harian berbanding menggunakan kereta untuk ke tempat kerjanya di Phileo Damansara dari rumahnya di Sungai Buloh.

“Purata saya terpaksa membelanjakan kira-kira RM35 sehari untuk minyak, tol, dan bayaran parkir tapi kini saya menjangka kos pengangkutan hanya sekitar RM10 sehari sehaja dengan menggunakan MRT,”

Pegawai Eksekutif bahagian sumber manusia di sebuah syarikat swasta, Syarifah Rogayah Syed Mahamad, 36, yang tinggal di Desa Moccis, Sungai Buloh berkata MRT memberikannya alternatif baharu untuk ke tempat kerjanya di Jalan Beringin berdekatan stesen Semantan.

“MRT dapat menjimatkan masa dan wang,” kata Syarifah Rogayah.

Pelajar, Nuri Ismazatul Rahim, 13, berpuas hati dengan perkhidmatan MRT dan bas perantara yang disifatkannya sebagai menepati masa dan selesa.

“Servisnya memuaskan dan sudah tentu saya akan lebih kerap menggunakannya jika mahu keluar bersama keluarga atau rakan-rakan saya nanti,” katanya yang tidak perlu menunggu lama untuk menunggu bas atau tren seterusnya.

Setiap perjalanan MRT itu boleh membawa 1,200 penumpang dalam empat gerabak dengan perjalanan dari Sungai Buloh ke Semantan mengambil masa setengah jam dan perjalanan sebaliknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata seramai 10 kakitangan terdiri daripada polis bantuan, operator tiket dan juruteknik disediakan di setiap stesen.

“Sistem operasi MRT dan keselamatannya memenuhi standard antarabangsa,” katanya.

Azmi berkata pihaknya optimis dalam mencapai sasaran 160,000 pengguna MRT dalam sehari bermula bulan hadapan, sebaik sahaja tamat cuti persekolahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman pula berkata buat masa ini pihaknya tidak merancang untuk menyediakan koc khas bagi wanita memandangkan jumlah pengguna yang ramai akan menyebabkan ketidakseimbangan penumpang di setiap koc, terutamanya pada waktu kemuncak.

“Walaupun tiada koc wanita, tren (MRT) ini telah dilengkapi Kamera Litar Tertutup (CCTV) berserta anggota keselamatan yang akan sentiasa memantau keadaan semasa di dalam tren,” kata Zohari.

Waktu operasi perkhidmatan MRT pada Isnin hingga Jumaat adalah pada pukul 6 pagi hingga 12 malam manakala Sabtu dan Ahad pada pukul 6 pagi hingga 11.30 malam.

Bagi bas perantara pula beroperasi setiap hari mulai pukul 5.30 pagi hingga 11.30 malam.

Tambang MRT adalah antara RM1 dan RM3.90.

Rapid Rail adalah operator bagi perkhidmatan MRT itu dan ia merupakan anak syarikat Prasarana, operator pengangkutan awam terbesar negara.

Fasa kedua MRT bagi laluan Semantan ke Kajang sejauh 30km dijadualkan beroperasi Julai 2017.

— BERNAMA