Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA NERANG – Keikhlasan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bekerjasama walaupun telah memeterai perjanjian baru-baru ini, dilihat tidak berada pada tahap yang tinggi dan agak meragukan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana kerjasama yang terbentuk daripada Pakatan Harapan dan PPBM yang baru berusia tiga bulan itu, tidak jelas malah lebih kepada kepentingan politik masing-masing.

“Ia umpama tidur sebantal tapi mimpi lain-lain. Susah nak tengok parti yang tidak jelas gabungannya, membentuk sebuah kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pengurusan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bersama Ketua-ketua Setiausaha PDM di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap di sini, hari ini.

Selasa lepas, PPBM mengumumkan masih belum menyertai pakatan pembangkang dan hanya menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kedua-dua parti bersetuju untuk meletakkan satu calon bagi mewakili Pakatan Harapan-PPBM di semua peringkat dalam pilihan raya umum.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata belum pun sampai seminggu perjanjian kerjasama itu dibentuk, kedua-dua pihak sudah mula membangkitkan isu tentang siapa yang patut menjadi perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum akan datang.

— BERNAMA