Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 mensasarkan jualan dagangan hak cipta sebanyak RM3 juta untuk sebuah judul.

Pengerusi Tetap Majlis Buku Kebangsaan, Tan Sri Dr.Khair Mohamad Yusof berkata, jualan hak cipta bukan sahaja daripada penerbitan buku tetapi juga diperoleh daripada turut filem aplikasi, permainan maya, siri televisyen dan ikon.

“Jualan dagangan hak cipta setiap judul akan menjadi adalah penanda aras kemasukan peserta dan pempamer buku di pesta kali ini.

“Pempamer dan peserta yang hadir akan dinilai dalam bentuk dua pelaburan iaitu jualan buku dan jualan dagangan hak cipta yang mana merangkumi nilai kandungan, jenama dan ikon hasil seseorang penulis.

“Ini bermakna kita akan melesenkan orang untuk menerbitkan buku di negara masing-masing dan kita boleh jimat dari segi kos tanpa ke sana,” katanya selepas melancarkan Pra-Pelancaran PBAKL 2017 di ibu negara.

Turut hadir Pengarah Urusetia Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ABD Wahab Ibrahim.

Tambah beliau, seramai 2.5 juta pengunjung disasar pihak penganjur menjelang pesta buku yang akan berlangsung bermula 28 April hingga 7 Mei depan.

Jelas beliau, sebanyak 905 gerai buku melibatkan lebih 250 pempamer dalam dan luar negara akan menyertai PBAKL yang memasuki edisi ke-36.

Selain itu katanya, Malaysia boleh menjadi pusat ilmu dan buku di rantau Asia Tenggara seperti acara pesta buku tahunan di Frankfurt, Jerman.

“Dalam pesta buku yang sama kami akan menganjurkan perhimpunan penulis-penulis tempatan dan ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan idea mereka kepada pengunjung.

“Justeru kita turut merancang Buzz Application Content and Access (BACA) World, pameran gaya hidup digital lebih berfokuskan kepada pengisian dan pembacaan digital melibatkan 150 gerai pada tiga hari terakhir pameran itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette