Polis Jerman sedang memburu seorang suspek warga Tunisia Anis Amri.

Polis Jerman sedang memburu suspek suaka warga Tunisia selepas dokumen pengenalan individu itu ditemui di bawah tempat duduk pemandu trak yang merempuh pasar krismas di Berlin, kata sumber keselamatan negara itu.

Kejadian itu mengakibatkan 12 orang terbunuh.

Pejabat Pendakwaraya Persekutuan menawarkan ganjaran lebih 100,000 euro kepada orang awam yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang dikenali Anis Amri, 24 tahun.

“Berhati-hati. Dia boleh mengganas dan bersenjata!,” kata pejabat pendakwaraya dalam satu kenyataan sambil menambah suspek berambut hitam dan bermata coklat dengan ketinggian 1.78 meter.

Komander polis Jerman menyerbu dua apartmen di Kreuzberg, Berlin semalam tetapi tidak menemui Amri, lapor akhbar tempatan Jerman, Die Welt.

Bapa Amri dan sumber keselamatan memberitahu Radio Tunisia bahawa dia telah meninggalkan Tunisia tujuh tahun lepas sebagai pendatang haram dan menghabiskan masanya dalam penjara di Itali.

Menteri Dalam Negeri Rhine-Westphalia (NRW), Ralf Jaeger berkata, warga Tunisia itu tiba di Jerman pada Julai 2015 dan permohonan suaka beliau ditolak.

Selepas suaka ditolak, suspek sepatutnya pulang ke negara asal tetapi tidak dapat kembali kerana dokumen pengenalan dirinya hilang.

“Tunisia pada mulanya menafikan bahawa Amri adalah warganegaranya,” kata Jaeger.

Sumber kehakiman memberitahu Reuters bahawa pihak berkuasa Jerman telah memantau Amri sejak awal tahun ini untuk mengesahkan sama ada suspek merancang samun untuk membiayai pembelian senjata automatik untuk melakukan serangan. – Reuters