Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Pasukan bola sepak tidak boleh meraih simpati ahli politik bagi memastikan survival dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Menurut Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ini kerana cubaan meraih simpati itu disifatkan sebagai satu perkara yang melucukan.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berpendapat pasukan yang dilanda masalah kewangan perlu menyelesaikan masalah dihadapi, bukannya meraih simpati ahli politik dan mengancam menarik diri.

“Kami dapati terdapat kelab-kelab yang menyalahgunakan dana mereka dan kemudian mengancam untuk menarik diri daripada liga hanya untuk meraih simpati dan mendapatkan sumber bantuan daripada kerajaan.

“Jadi, jika inilah yang sedang berlaku, saya fikir semua pasukan harus mengancam untuk menarik diri supaya kita semua boleh mendapatkan wang daripada kerajaan dan ahli politik jikalau ini adalah cara permainan mereka,” katanya di Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Dalam laporan sebelum ini, Kelantan, Perlis dan Selangor berhasrat untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi bagi pengurusan skuad mereka dalam menghadapi saingan Liga-M musim 2017.

Situasi tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berpendapat penglibatan ahli politik dalam pengurusan bola sepak terutamanya menyalurkan bantuan kewangan dilihat hanya sebagai gula-gula sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, bantuan tersebut seharusnya digunakan untuk kebajikan rakyat, bukannya membantu survival pasukan bola sepak yang bermasalah.

“Saya berasa kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang diberikan oleh beberapa pemimpin dan ahli-ahli politik senior yang cuba menggunakan bola sepak sebagai alat politik.

“Tetapi saya mula menyedari ianya tidak begitu mengejutkan memandangkan tarikh PRU sudah semakin hampir,” katanya. – MalaysiaGazette