Alwiyah Talib ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah ADUN Johor yang baharu di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM) mula menyusun perancangan lebih awal bagi memastikan skuad kebangsaan tampil kompetitif pada Sukan SEA Malaysia 2027.

Presidennya, Alwiyah Talib berkata, persiapan pasukan akan diperkemaskan menerusi program latihan berterusan, terutama membabitkan pemain yang dikenal pasti selepas penyertaan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma).

Beliau berkata, pemain yang terpilih dan disenaraikan dalam kelompok terbaik akan menjalani latihan secara konsisten sebagai persediaan menghadapi dua kejohanan penting tahun depan.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan melalui dua kejohanan penting iaitu Sukan SEA 2027 yang kita menjadi tuan rumah serta Kejohanan Remaja Asia.

“Bagi Sukan SEA, latihan akan dipertingkatkan secara lebih intensif mulai awal tahun depan bagi memastikan pemain benar-benar bersedia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah ADUN Johor yang baharu di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Alwiyah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berkata, pihaknya juga akan memohon kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) supaya pemain yang terlibat dapat ditempatkan di satu lokasi bagi menjalani program latihan pusat.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membolehkan latihan dilaksanakan secara lebih tersusun dan intensif sehingga berlangsungnya Sukan SEA 2027.

Beliau berkata, tempoh persiapan yang lebih panjang memberi peluang kepada barisan kejurulatihan mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pemain, selain membentuk keserasian pasukan.

Dalam masa sama, PJBM turut memberi perhatian terhadap pembangunan pemain muda menerusi Kejohanan Remaja Asia yang dijangka berlangsung Julai tahun depan, tertakluk kepada keputusan pihak berkaitan.

Alwiyah berkata, kejohanan itu juga penting sebagai medan menguji kemampuan pemain muda di pentas antarabangsa, sekali gus menyediakan pelapis untuk skuad senior negara.

Malaysia hadir ke Sukan SEA 2027 dengan reputasi kukuh selepas skuad bola jaring kebangsaan melakar hatrik pingat emas pada edisi 2017, 2019 dan 2025.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia menewaskan Singapura untuk meraih emas sebelum mempertahankan kejuaraan di Filipina dua tahun kemudian.

Pada edisi 2025 di Thailand, Malaysia sekali lagi menundukkan Singapura 52-49 menerusi masa tambahan untuk melengkapkan hatrik emas.

Alwiyah berkata, pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat kepada pasukan, namun kejayaan lalu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil mudah cabaran pada edisi 2027.

Sebaliknya kata beliau, skuad negara perlu terus mempertingkatkan aspek kecergasan, taktikal dan mental bagi menghadapi persaingan yang dijangka sengit.

“Kita mahu mereka lebih tepat, lebih berdaya saing dan mampu memberikan saingan terbaik bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, malah Asia,” katanya.

Dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah, persiapan awal dilihat amat penting bagi memastikan kelebihan bermain di gelanggang sendiri diterjemahkan kepada satu lagi persembahan membanggakan, katanya.

PJBM katanya, kini memberi tumpuan kepada proses pemilihan pemain, perancangan latihan serta pembentukan pasukan terbaik sebelum misi mempertahankan kejuaraan Sukan SEA 2027 bermula. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here