Tuan Asmawi Tuan Umar bersama buku Yasin Syifa tulisannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semoden mana pun pemikiran manusia masalah gangguan makhluk halus tidak boleh dinafikan dalam masyarakat.

Buktinya, kes-kes seperti santau, saka, kerasukan dan sebagainya seringkali kita dengar dan sesetengahnya melibatkan kaum keluarga dan kenalan kita.

Anggapan ia tahyul merupakan persepsi hasil perangai sesetengah perawat yang mengambil kesempatan memanipulasi pesakit dengan tujuan peribadi.

Ia seterusnya memburukkan imej pengamal perubatan dan perawat Islam yang mengamalkan ilmu mereka berdasarkan al-Quran.

Sebagai langkah memperkenalkan perawat sebenar, seorang pendakwah bebas, Tuan Asmawi Tuan Umar merancang menerbitkan program realiti televisyen Ana Mualij atau maksudnya Saya Perawat.

Pengasas program Imam Muda dan Ustazah Pilihan itu berkata, ia bakal melahirkan perawat selebiriti yang ada asas ilmu rawatan Islam pada masa depan.

“Program Ana Mualij ini saya rasa akan lebih ‘meletup’. Ramai yang skeptik walhal sepatutnya daie-daei selebriti balik kepada legasi orang-orang agama silam yang mereka juga mahir bab rawatan dan perubatan Islam,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Menurut Tuan Asmawi, calon-calon Ana Mualij tidak semestinya berpengetahuan agama yang tinggi dan ada ilmu rawatan – jika skala 1-10, mereka sekurang-kurangnya pada tahap lima.

“Calon-calonnya akan dinilai dalam kelas, praktikal, tajwid, kerja-kerja dakwah dan latihan merawat sendiri pesakit yang terkena santau atau dirasuk,” ujarnya yang menambah silibus program itu tidak spesifik kepada mana-mana ajaran dari pusat perawatan Islam yang ada.

Pemilihan para juri mungkin boleh dari pusat perubatan tetapi individu ditugaskan menilai potensi dan bakat calon seperti Imam Muda dan Ustazah Pilihan.

Pada peringkat awal, katanya, stesen televisyen TV3 sudah berminat tetapi kini menunggu respon daripada penaja tetapi dalam masa yang sama masih terbuka kepada penaja berminat.

Tuan Asmawi memberitahu, program Ana Mualij itu juga bertujuan membuka mata masyarakat mengenai perawatan Islam sebenar dan bukan yang mengambil kesempatan.

“Penonton juga boleh belajar seperti cara merukyah, bacaan tepat dan teknik melalui program yang sama,” ujarnya yang juga baru menyiapkan buku Yasin Syifa baru-baru ini.

Bagaimanapun pihaknya akan menasihati calon-calon Ana Mualij nanti supaya jangan angkuh dengan ilmu yang ada kerana kepandaian itu semuanya datang dari Allah.

“Mereka keluar program bakal jadi pendakwah dan dalam masa juga perawat, mereka boleh buat pusat perawatan tetapi mereka kena melakukan amalan itu dengan ikhlas,” katanya.–MalaysiaGazette