Joyce Evanson (kiri) bersama anak dan saudaranya (dari kiri), Jocelyn, Rouvin, Charlene, Chris Xavier dan Delphine membungkus hadiah sebagai persiapan sempena sambutan perayaan Krismas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Subang. foto SAFWAN MANSOR, 24 DISEMBER 2016
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat Malaysia perlu berpegang teguh pada nilai-nilai murni yang mengikat erat mereka selama ini seperti sikap bertoleransi antara satu sama lain dan membantu golongan yang memerlukan.

Dalam perutusan Krismasnya, beliau berkata nilai-nilai itu didukung oleh penganut semua agama.

Dalam kenyataan menjelang sambutan perayaan itu esok, katanya: “Ini merupakan masa untuk menyerlahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan penganut Kristian dan agama-agama yang lain – saling menghormati, sikap bertoleransi antara satu sama lain dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ini merupakan nilai-nilai yang mengikat erat kita semua, untuk meraikan kekayaan dan kepelbagaian yang wujud di negara ini, bersama-sama,” kata Najib.

Perdana menteri turut mengucapkan ‘Selamat Menyambut Krismas’ kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu di tanah air atau di luar negara bersama-sama orang tersayang.

Katanya ia merupakan hari yang mengumpulkan dan menyatukan rakan dan anggota keluarga di seluruh negara.

— BERNAMA