Projek perintis SZ itu akan menjadi satu lagi ujian dalam usaha membina keyakinan di antara kerajaan Thailand dan kumpulan militan.
BANGKOK – Zon Keselamatan (SZ) di selatan Thailand, yang dinantikan sejak sekian lama, dijangka dibuka sebagai percubaan di satu kawasan yang dipersetujui bersama pada separuh pertama tahun depan.

Jurucakap MARA Patani (Majlis Perundingan Patani) Abu Hafez al-Hakim berkata projek perintis SZ itu akan menjadi satu lagi ujian dalam usaha membina keyakinan di antara kerajaan Thailand dan kumpulan militan.

“Sesungguhnya, ini adalah satu langkah kecil ke hadapan dan satu cabaran besar bukan sahaja bagi pihak A dan B (Thailand dan MARA), tetapi juga bagi para wakil Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta penduduk tempatan yang akan menjadi sebahagian daripada SZ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MARA Patani adalah badan yang menaungi beberapa kumpulan militan di selatan Thailand dan terlibat dengan beberapa pusingan rundingan damai tidak rasmi dengan Bangkok, hasil usaha Malaysia.

Abu Hafez berkata kedua-dua pihak menubuhkan Pasukan Teknikal Bersama (JTT) bagi membincangkan penubuhan SZ pada 26 Okt lepas dan mengadakan mesyuarat pertama mereka pada tarikh itu.

Menurutnya isu SZ masih relevan dan merupakan agenda penting yang akan dibincangkan.

“Perbincangan mengenai SZ merupakan penilaian sebenar tentang sikap saling mempercayai, komitmen, tolak ansur dan bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama apabila ia dilaksanakan kelak,” katanya.

Abu Hafez berkata pada mesyuarat kedua JTT mengenai SZ pada 22 Nov lepas, MARA Patani mengemukakan tiga syor kepada pihak kerajaan Thailand untuk diberi pertimbangan dalam usaha membina keyakinan sebelum SZ dilaksanakan.

“Suasana pada mesyuarat kedua JTT lebih mesra serta santai dan ini menunjukkan bahawa selepas dua tahun berbincang, indeks pembinaan keyakinan di antara kedua-dua pihak mula membuahkan hasil.

“Bagaimanapun, jalan ke arah kerjasama dan persefahaman penuh masih jauh di hadapan,” katanya.

Syor yang dikemukakan itu mengandungi jaminan keselamatan dan perlindungan terhadap wakil MARA Patani di peringkat tempatan dan pembebasan tahanan politik, yang dianggap boleh membantu kejayaan pelaksanaan SZ.

Abu Hafez berkata syor ketiga ialah supaya kerajaan Thailand membatalkan cadangan membina loji janakuasa menggunakan tenaga arang batu, yang menimbulkan kontroversi serta penerokaan sumber asli lain di pedalaman wilayah selatan.

Pada mesyuarat JTT ketiga mengenai SZ pada 20 Dis lepas, kedua-dua pihak mencapai persetujuan menegenai deraf Rangka Kerja Umum mengenai Zon Keselamatan dan ia akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Bersama untuk diluluskan kelak.

Persidangan MARA Patani kedua pada 12 dan 13 Dis lepas dihadiri lebih 60 peserta teramasuk pemimpin terkemuka seperti Chegu Mae-Kutih, Awang Jabat, Kasturi Mahkota dan Ahmad Chu-Wo.

Pada akhir persidangan itu, MARA Patani menegaskan sekali lagi tentang komitmennya untuk menyelesaikan konflik Patani melalui dialog secara aman dengan Thailand.

— BERNAMA