Pesawat Jet Airways yang terkeluar daripada landasan terbang di Lapangan Terbang Dabolim, Goa.

GOA – Sebuah pesawat Boeing, B737-800 milik Jet Airways yang membawa 154 penumpang dan tujuh anak kapal terkeluar daripada landasan terbang di Lapangan Terbang Dabolim hari ini.

Kesemua penumpang dan anak kapal terselamat, kata Jet Airways.

“Penerbangan 9W 2374 dari Goa ke Mumbai terkeluar landasan di Lapangan Terbang Dabolim pada pagi ini berikutan masalah teknikal ketika hendak berlepas,” menurut kenyataan Jet Airways.

Lapangan terbang itu ditutup sehingga pukul 12.30 tengahari.

Semua penumpang berjaya dikeluarkan dari pesawat terbabit namun terdapat beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan semasa proses pemindahan dilakukan dan bantuan perubatan telah disediakan untuk mereka, kata kenyataan itu.

Ketika hendak berlepas, juruterbang membatalkan pelepasan dan pesawat tersebut berpusing 360 darjah. Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat akan menyiasat insiden tersebut. – The Times of India