KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd., yang memiliki dan mengendalikan Pelabuhan Weifang di wilayah Shandong China mengumumkan anak syarikat tidak langsungnya, Weifang Binhai Haiwei Dredging Project Co. Ltd  (WBHDP) telah menggantung operasinya.

Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia, konglomerat itu berkata, WBHDP yang menjalankan aktiviti pengorekan tambak, penggalian, pengorekan dan penyelenggaraan pelabuhan dan terusan, pemasangan asas, pajakan kapal dan kemudahan berkaitan telah memohon untuk dinyah-daftar pada 29 Februari dan telah berkuatkuasa pada 27 Disember.

Penyah-daftaran itu berlaku selepas pengendali pelabuhan Weifang, Weifang Sime Darby Co. Ltd., sebuah anak syarikat tidak langsung 99 peratus dimiliki oleh Sime Darby menerima notifikasi yang dikeluarkan oleh pihak Pentadbiran Zon Industri dan Perdagangan Ekonomi dan Pembangunan Teknologi Weifang Binhai, China.

WBHDP merupakan anak syarikat tidak langsung dengan pemilikan 50.75 peratus ditubuhkan pada Disember 2009 merupakan salah satu daripada beberapa syarikat Sime Darby yang terlibat dalam perkhidmatan pengendalian pelabuhan.

Awal tahun ini, Sime Darby berkata, operasi Pelabuhan Weifang sudah bersedia untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) menjelang 2020.- MalaysiaGazette