Home Ekonomi Pencalonan Program Sarjana Tamu Kewangan Islam SC-OCIS dibuka

Pencalonan Program Sarjana Tamu Kewangan Islam SC-OCIS dibuka

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) membuka permohonan bagi pencalonan bagi Felo Pelawat keenam di OCIS di bawah Program Sarjana Tamu (SIR) dalam Kewangan Islam untuk tahun akademik bermula Oktober 2017.

Program SIR merupakan inisiatif untuk kajian lanjutan terhadap isu-isu semasa dalam kewangan Islam, khususnya dalam bidang pasaran modal Islam.

Program tersebut, serta kerjasama bersama OCIS, merupakan inisiatif berterusan SC berkaitan kepimpinan pemikiran dan pembangunan keupayaan untuk mempergiat perkembangan pasaran modal Islam di peringkat global, kata SC dalam kenyataan di sini.

Ia diwujudkan pada tahun 2012 berikutan resolusi yang dibuat di Sidang Meja Bulat SC-OCIS, acara tahunan utama di bawah kerjasama tersebut.

Sejak program ini dilancarkan, empat orang Sarjana telah menyiapkan penyelidikan mereka dalam isu-isu topikal yang berkaitan dengan kewangan Islam, manakala Sarjana kelima masih menjalani program Felo Pelawat.

Pemohon dan calon-calon untuk Felo Pelawat di bawah Program SIR mestilah pakar dalam kewangan Islam dan/atau dari bidang yang berkait rapat dan harus mampu menunjukkan kebolehan  menjalankan penyelidikan akademik secara bebas.

Tarikh tutup pengemukaan permohonan adalah pada 20 Januari 2017.

Sarjana terpilih hendaklah memulakan program tamu di Oxford pada Oktober 2017 untuk tahun akademik 2017/18, dan menjalankan penyelidikan dalam pembangunan kewangan Islam ke atas topik kontemporari yang berkaitan dengan bidang ini, dan turut menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS.

Di samping itu, Felo Pelawat hendaklah menyampaikan syarahan dan menjalankan seminar, melibatkan diri dalam kajian secara kerjasama, dan, sekiranya diminta, menyumbangkan tenaga kepada program institusi-institusi berkenaan dan masyarakat setempat.

Tempoh program felo ini adalah selama satu tahun akademik. Felo Pelawat yang berjaya akan memperoleh keahlian Pusat ini dan mendapat akses penuh kepada kemudahan-kemudahan termasuk ruang pejabat dan tempat tinggal secara berkongsi.

Geran sebanyak 10,000 pound sterling (£10,000) akan diberikan bagi memenuhi kos sara hidup, perjalanan, dan perbelanjaan sampingan penyelidikan. – MalaysiaGazette