Datuk Shamsubahrin Ismail
KUALA LUMPUR – Bermula 1 Jan ini, syarikat pengendali teksi Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd akan melaksanakan sistem tiket elektronik, ‘Big Blue e-Ticketing’ kepada semua pemandu teksi di bawah seliaan syarikat itu.

Penasihat syarikat berkenaan, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata inisiatif tersebut bagi melindungi penumpang daripada ditipu pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab dengan melalui jalan jauh dengan niat mahu mengenakan caj meter yang tinggi.

Katanya menerusi sistem ini, semua teksi di bawah syarikatnya tidak akan lagi menggunakan caj bermeter tetapi penumpang akan dicaj mengikut kadar harga tetap tanpa caj tersembunyi.

“Penumpang tidak lagi perlu risau akan ditipu pemandu teksi memandangkan mereka (penumpang) akan diberikan resit pembayaran terlebih dahulu sebelum menaiki teksi tersebut, malah data pemandu dan kenderaannya turut direkodkan dalam sistem ini.

“Pengguna boleh memilih sama ada mahu menggunakan teksi bajet, teksi eksekutif dan sebagainya serta dapat membuat pilihan kaedah bayaran secara tunai, kad debit atau kad kredit di kaunter-kaunter ini.

“Jumlah caj yang dikenakan kepada penumpang turut merangkumi perlindungan insurans bagi menjamin keselamatan penumpang. Namun, caj tambahan 50 peratus akan dikenakan ketika waktu puncak iaitu mulai 5 petang hingga 8 malam,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Shamsubahrin berkata setakat ini, perkhidmatan Big Blue e-Ticketing hanya boleh didapati di kaunter tiket syarikat tersebut di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Publika sahaja.

Syarikatnya juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut di kawasan-kawasan lain antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Berjaya Times Square.

Tambahnya, pelaksanaan sistem ini juga bertujuan menyahut gesaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menggalakkan syarikat pengendali teksi menggunakan sistem ‘e-hailing’, agar dapat bersaing dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grabcar.

— BERNAMA