KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Reina, sebuah kelab malam di Istanbul ketika dunia meraikan kedatangan tahun baharu 2017.

Kejadian itu telah meragut 39 nyawa serta 69 orang tercedera.

Dalam satu kenyataan malam ini, Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut dan Kerajaan Turki serta berharap mereka yang cedera akan cepat pulih.

“Kerajaan Malaysia, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Turki dalam menentukan jika ada rakyat Malaysia antara mereka yang terlibat dengan serangan itu,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, tidak ada pengesahan rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tersebut.

Kedutaan juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Turki dan rakyat Malaysia di sana termasuklah para pelajar yang menuntut di Istanbul.

Kementerian Luar juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau yang berhasrat mengadakan lawatan ke Istanbul dan bandar-bandar utama yang lain di Turki supaya sentiasa berhati-hati.

Warga Malaysia di Turki diminta memberi perhatian kepada keselamatan diri, serta memantau dan merujuk kepada nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh Turki. – MalaysiaGazette