Datuk Abdul Fattah Mahmood

Kerajaan Kelantan akan membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang berdepan masalah kewangan kritikal bagi memastikan skuad The Red Warriors terus bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bernama melaporkan, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pihaknya sudah mendengar dan mendapat maklumat daripada KAFA berhubung masalah kewangan yang dihadapi mereka.

“Kita akan memperincikan bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan KAFA di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam.

Beliau berkata persefahaman yang dicapai antara kerajaan negeri dan Kafa semalam akan memudahkan usaha pasukan The Red Warriors terus kekal beraksi dalam saingan Liga-M.

Sementara itu, Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata dalam perbincangan tersebut kerajaan negeri menyatakan kesediaan menghulurkan bantuan.

“Hasil perbincangan itu, kerajaan negeri turut mahu memastikan penyertaan Kelantan dalam Liga-M dan kita semua mendoakan agar ianya menghasilkan sesuatu yang positif,” katanya.

Beliau turut berharap pihak yang berminat menaja pasukan Kelantan untuk segera berunding dan memeterai perjanjian dengan Kafa.

Kafa akan memutuskan sama ada kekal atau menarik diri daripada menyertai Liga M pada Jumaat ini iaitu hari terakhir pendaftaran pemain dalam liga tersebut.

Persatuan itu dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga M 2017 memandangkan KAFA hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan mereka memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu.-MalaysiaGazette