KUALA LUMPUR – Jaguh badminton wanita negara, Goh Liu Ying dilaporkan sudah putus cinta selepas lapan tahun menyulam cinta.

Liu Ying sebelum ini menjalin hubungan dengan bekas pemain beregu negara, Ong Jian Guo sejak mereka berusia 19 tahun lagi.

Pasangan itu juga pernah dilaporkan merancang untuk bersama-sama menubuhkan sebuah akademi badminton bagi melahirkan bakat baru dalam sukan berkenaan.

Memetik laporan China Press, bekas pasangan itu telah berpisah, namun punca atau alasan hubungan mereka berakhir tidak dinyatakan.

Setakat ini Liu Ying dan Jian Guo belum memberikan sebarang reaksi kepada laporan berkenaan.

Mereka juga dilaporkan sedang terbabit dalam kejohanan Purple League dengan masing-masing mewakili kelab berbeza.

Liu Ying sedang bermain untuk kategori beregu campuran mewakili Puchong United, manakala Jian Gua beraksi untuk beregu lelaki untuk kelab Klang City.

Untuk makluman, kedua-dua mereka berasal dari Melaka dan pernah dimasukkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk digilap bakat mereka sehingga layak mewakili negara.

Pada kejohanan Olimpik lalu Liu Ying berpasangan Chan Peng Soon dan hampir-hampir merangkul pingat emas pertama negara selepas beraksi cemerlang sehingga ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun impian itu tidak kesampaian apabila laluan mereka disekat pasangan dari Indonesia, Tantowi Ahmad dan Lilyana Natsir dengan 14-21, 12-21.

Kejayaan itu melonjakkan nama Liu Ying di kalangan peminat sukan.- MalaysiaGazette