Panel hakim juga memberikan RM5,000 sebagai kos kepada Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh, yang merupakan responden dalam rayuan itu.

PUTRAJAYA – Penerbit portal berita dalam talian, Mkini Dotcom Sdn Bhd dan dua editornya gagal untuk melucutkan kelayakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Seremban daripada mendengar saman fitnah difailkan terhadap mereka oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk David Wong Dak Wah hari ini menolak rayuan Mkini Dotcom, Ketua Pengarangnya Steven Gan dan Ketua Editor Fathi Aris Omar kerana mereka masih belum sampai ke tahap berdepan bahaya akan wujud keadaan berat sebelah.

“Oleh itu kami (panel) menolak rayuan ini,” kata Hakim Wong yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Hakim Datuk Mary Lim dalam laporan BERNAMA.

Panel itu juga memberikan RM5,000 sebagai kos kepada Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh, yang merupakan responden dalam rayuan itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili ketiga-tiga perayu dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili kedua-dua responden. – MalaysiaGazette