Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad menyifatkan barisan kepimpinan PAS kini semakin lemah sehingga membenarkan diri mereka dipergunakan oleh UMNO, khususnya dalam soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).
Khalid Abdul Samad

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (PAN) mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad atas kesedaran perlunya untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, selama ini pun itulah yang disarankan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi ianya ditolak oleh Pas.

“Malangnya Pas terus dengan usaha memecahbelahkan kesatuan pembangkang dan menggagalkan rundingan seperti menolak untuk berunding dengan PH.

“Sebaliknya Pas hanya sanggup berunding dengan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan PPBM. Usaha pecah belah oleh Pas ini perlu dihentikan jika ingin mengelak dari berlakunya pertandingan tiga penjuru,” katanya di sini, semalam.

Khalid berkata, beliau mengambil maklum pandangan Iskandar yang mencabar PAN bertanding melawan Pas jika mahu menggantikan parti itu.

“Dia ada sebut, sekiranya PAN ingin gantikan Pas, maka PAN perlu bertanding sendiri melawan Pas, bukan menghantar parti lain sama ada Keadilan atau PPBM.

“Kita cukup bersetuju supaya Keadilan dan PPBM jangan dikaitkan dalam persoalan persaingan antara Pas dan PAN,” ujar beliau.

Oleh itu, beliau mengesyorkan Pas menghentikan ugutan terhadap Keadilan dan PPBM dengan kata-kata akan bertanding di kerusi kedua-dua mereka sekiranya parti itu mahu bekerjasama dengan PAN.

Katanya, PAN terpaksa bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru sekiranya Pas terus berusaha memecahbelahkan PH dan berunding hanya dengan Keadilan serta PPBM sahaja.

“Iskandar juga ada berkata, Pas akan tunggu PAN. Kami bagaimanapun, mengharapkan Pas bersikap terbuka untuk berunding dengan PH. Namun sekiranya tiada perubahan pada sikap Pas, kita tidak akan menghampakan pihak yang menunggu,” katanya. – MalaysiaGazette