Gambar Fail: Todd (kiri sekali) bersama ibunya mendiang Reynolds dan kakaknya FIsher dan anak Fisher, Billie Lourd di satu majlis di Los Angeles. - the Sun

Jenazah mendiang bintang filem Star Wars, Carrie Fisher yang mesra dikenali sebagai Princess Leia dan ibunya Debbie Reynolds akan dikebumikan serentak dalam satu majlis tertutup esok.

Laporan terbaharu di Los Angeles berkata, majlis memorial akan diadakan pada hari ini untuk kedua-dua pelakon wanita tersohor Hollywood yang meninggal dunia pada hujung Disember lalu.

Upacara tertutup itu melibatkan ahli keluarga terdekat kedua-dua bintang itu akan diadakan di pekarangan Beverly Hills milik Reynolds dan Fisher.

Difahamkan, mayat Fisher telah dibakar dan sebahagian abu jasadnya akan diletakkan bersama mayat ibunya dalam keranda yang akan dikebumikan esok di Taman Memorial Forest Lawn, Los Angeles.

Bintang wanita Star Wars itu telah meninggal dunia pada 27 Disember pada usia 60 tahun selepas bergelut dengan serangan jantung semasa dalam perjalanan dari London ke Los Angeles.

Ibunya seorang penyanyi legenda dengan lagu popular, Singin In The Rain, meninggal dunia sehari selepas pemergian Fisher pada usia 84 tahun.

Anak Reynolds dan adik lelaki Fisher, Todd Fisher memberitahu saluran ABC 20/20, mereka merancang untuk menghadiri majlis penghormatan terakhir itu dengan anak saudaranya, Billie Lourd yang juga anak perempuan Fisher yang berusia 24 tahun.

“Kami tidak dapat menerima pemergian mereka dan sedih meninggalkan kami berdua bersendirian tanpa kasih sayang namun kami gembira mereka (ibu dan anak) tetap bersama dalam perjalanan akhir (kematian) juga.

Proses autopsi jenazah Fisher telah selesai Jumaat lalu sebelum diserahkan kepada agen pengkebumian yang dilantik ahli keluarganya, menurut pejabat koroner Los Angeles.

Para artis dan kru filem sekual Star Wars juga dijangkakan menghadiri majlis tersebut.

Debbie dikatakan diserang strok di pekarangan kediamannya, Beverly Hills ketika sedang membuat persediaan upacara pengkebumian anaknya itu.

“Dia patah hati dan sedih kerana tidak dapat menerima pemergian anak kesayangannya itu,” kata Todd kepada 20/20. – MalaysiaGazette