Home Dunia Jawatan Presiden AS bukan perniagaan keluarga

Jawatan Presiden AS bukan perniagaan keluarga

Donald Trump dan Barack Obama dalam satu pertemuan selepas pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Disember tahun lalu. Foto Agensi

WASHINGTON – Barack Obama mengingatkan Donald Trump agar tidak mentadbir White House seperti mana menguruskan empayar perniagaan keluarga.

Presiden Amerika Syarikat itu mahu penggantinya agar menghormati institusi Amerika Syarikat.

“Selepas anda mengangkat sumpah, anda bertanggungjawab bagi sebuah organisasi terbesar bumi.

“Anda tidak boleh menguruskannya dengan cara anda menguruskan perniagaan keluarga,” kata Obama dalam temubual bersama ABC News.

Obama turut mengingatkan Trump bahawa terdapat perbezaan antara mentadbir dan berkempen.

Presiden Amerika Syarikat itu mengakui beliau kini kerap berkomunikasi dengan Trump yang bakal mengambil alih tugasnya kurang daripada dua minggu lagi.

Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru pada 20 Januari ini

Menurut Obama, beliau dan Trump sangat berbeza dalam beberapa aspek.

Beliau menyifatkan Trump tidak banyak mengambil masa untuk memperincikan dalam pelbagai perkara, sambil memberi contoh pendekatan berbeza oleh kedua-duanya terutama melibatkan dasar-dasar.

Obama berkata, dia seorang yang mempelajari strategi dan polisi, berbeza dengan Trump.

“Saya berpendapat dia tidak menghabiskan masa dengan melihat perkara dengan terperinci,” ujarnya.

Obama memberi amaran bahawa khayalan akan memberi Trump perspektif baru apabila beliau berada di pejabat nanti, tetapi boleh menyebabkan ketidaktentuan.

“Terdapat modal dan pasaran kewangan dunia serta manusia seluruh dunia yang mengambil serius apa yang dikatakan oleh beliau (Trump),” kata Obama.

Awal Disember lalu, Trump menggunakan sosial media untuk melahirkan rasa tidak puas hati tentang kos pesawat Boeing 747 Air Force One.

Pada hari sama, Trump Tweet tentang kejatuhan saham Boeing.

Saham Toyota juga jatuh selepas Trump Tweet mengenai kilang pengeluaran di Mexico.

Trump kerap menggunakan akaun Twitter untuk berkomunikasi dan ia meningkatkan kebimbangan dalam kalangan ahli politik termasuk Joe Biden, Naib Presiden Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette