Home Politik Media UMNO, BN perlu giat sebar dasar kerajaan

Media UMNO, BN perlu giat sebar dasar kerajaan

KOTA BELUD – Unit Media UMNO dan Barisan Nasional (BN) diminta pergiatkan lagi usaha menyebarkan dasar-dasar kerajaan yang bermanfaat kepada rakyat bagi menepis tuduhan dan serangan pembangkang.

Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat perlu tahu tentang usaha murni kerajaan selama ini dalam menjaga kebajikan rakyat dan tidak mudah dipengaruhi tuduhan dan hasutan pihak pembangkang.

“Saya minta unit media UMNO dan BN supaya viralkan usaha kerajaan selama ini.

“Ini salah satu persediaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum (ke-14)(PRU14) akan datang, selain menggerakkan jentera pilihan raya,” katanya kepada pemberita pada akhir lawatannya ke Kota Belud hari ini.

Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili atas pelantikannya sebagai pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) semalam.

“Dengan gandingan pemimpin baharu dan lama, saya percaya PBS mampu memberi perkhidmatan baik lebih-lebih lagi pada PRU akan datang.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi gambaran awal bahawa tahun 2017 adalah tahun yang ‘istimewa’. Mungkin PRU tidak lama lagi,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun berkata Ongkili dilantik pemangku presiden parti itu berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu bagi membolehkan Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil cuti daripada politik, tetapi akan terus menjalankan tugasnya sebagai timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur Sabah sehingga habis penggal.

 Pada kongres perwakilan PBS November lalu, Pairin telah mengesahkan hasratnya untuk tidak bertanding pada PRU akan datang sejak berkecimpung dalam politik pada 1974. – MalaysiaGazette