Naib Presiden Persatuan Pelancong Dalam Negeri Malaysia (MITA), Mint Leong berkata, petanda awal kedatangan pelancong China pada Tahun Baharu Cina telah dikesan di Sabah apabila bilik hotel di negeri itu telah habis ditempah.

PETALING JAYA – Malaysia dijangka menerima kira-kira 150,000 pelancong dari China sempena dengan musim cuti Tahun Baharu Cina pada akhir bulan ini.

Sinchew Daily melaporkan, jumlah pelancong China pada musim kemuncak tersebut dijangka mengalami peningkatan antara 20 hingga 30 peratus berbanding musim sama pada tahun-tahun terdahulu.

Naib Presiden Persatuan Pelancong Dalam Negeri Malaysia (MITA), Mint Leong berkata, petanda awal kedatangan pelancong China pada Tahun Baharu Cina telah dikesan di Sabah apabila bilik hotel di negeri itu telah habis ditempah.

“Bagi pelancong China, mereka tertarik dengan sinaran suria, pantai dan pulau di Malaysia,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurut akhbar itu, rangkaian penerbangan yang baik turut menggalakkan pelancong keluar dari Kuala Lumpur dan Selangor untuk melawat Pulau Langkawi, Pahang, Perak, Johor dan Sabah.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Datuk Albert Tan berkata, penerbangan dari China telah menerima tempahan penuh untuk musim Tahun Baharu Cina.

Katanya, momentum pelancongan itu juga akan berterusan selepas musim kemuncak di mana beberapa rombongan besar-besaran dari China juga akan melawat Malaysia walaupun selepas Tahun Baharu Cina.

Ujarnya, majoriti pelancong pada musim Tahun Baharu Cina adalah dari bandar utama seperti Shanghai, Beijing, Guangzhou, Shenzen, Hangzhou, Chengdu dan Kunming.

Katanya, terdapat juga pelancong dari Xian dan Inner Mongolia yang sanggup melancong ke Malaysia melalui penerbangan sewa khas kerana kekurangan penerbangan berjadual.

Menurutnya, industri pelancongan mula meninggalkan kesan insiden pesawat MH370 dan pelbagai promosi yang dilakukan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di China telah menampakkan hasil. — MalaysiaGazette