Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 16 JANUARI 2017.

JOHOR BAHRU – Hampir 500,00 pekebun kecil dan penoreh getah yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bakal mendapat manfaat besar dengan meningkatkan pendapatan mereka menerusi projek penanaman nanas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek pembangunan tanaman nanas akan dilaksanakan secara integrasi dengan tanaman getah dan sawit.

Beliau berkata, ia adalah kerjasama RISDA dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang merupakan inisiatif Strategi Lautan Biro Kebangsaan (NBOS).

“Projek Integrasi Tanaman Nanas jenis MD2 ini bakal dilaksana dalam tahun ini dengan Johor akn menjadi perintis.

“Projek ini mampu memberi pendapatan sampingan kepada pekebun kecil dan penoreh sementara menunggu proses penanaman semula pokok getah dan sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Pejabat RISDA Negeri Johor dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara RISDA dan LPNM di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Menerusi MoU itu, LPNM akan membekalkan sebanyak 10,000 suluh nanas kepada RISDA dengan permulaan kawasan seluas 200 hektar di negeri ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Ismail menambah, RISDA akan mengenalpasti peserta daripada kalangan pekebun kecil yang menanam semula getah secara integrasi.

Jelasnya, tempoh penanam nanas jenis MD2 selama 15 bulan dan ia dipilih kerana rasanya lebih manis daripada nanas biasa.

“Nanas yang berasal dari Hawaii ini tahan lasak dan tidak mudah rosak. Ia mengandung vitamin C iaitu empat kali lebih tinggi daripada nanas biasa.
“Harga pasaran nanas MD2 ini boleh mencecah harga RM3.50 sekilogram dan dijangka memberi pendapatan purata RM6,000 sehektar,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail menasihati pekebun kecil agar sentiasa beringat walaupun permulaan tahun 2017 menyaksikan harga getah naik kepada RM4.70 sekilogram.
Bagaimanapun jelas beliau, harga komoditi getah ada turun naik kerana ia ditentukan pasaran luar negara.

Justeru, katanya kerajaan mahu menyediakan program peningkatan pendapatan agar sentiasa bersedia apabila harga getah jatuh kelak.

“Sebab itu, selain projek penanaman nanas ini, KKLW turut menyediakan perusahaan madu kelulut, cendawan tiram dan ayam kampung.

“Semua ini bagi membolehkan pekebun kecil dan penoreh mendapatkan punca pendapatan lain ketika harga getah jatuh selain ketika menunggu tempoh penanaman semula.

“Kerajaan akan sentiasa komited untuk terus membantu golongan ini pada waktu senang dan susah. Macam tahun lalu, KKLW menyediakan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah apabila memberi bantuan RM200 sepanjang musim tengkuh bermula bulan November hingga Januari ini.

“Namun kita bersyukur tidak berlaku musim tengkujuh sebaliknya harga komoditi dunia getah meningkat tinggi kepada RM4.70 sekilogram,” katanya. – MalaysiaGazette