Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan replika cek Elaun JKKK Negeri Johor Bagi Tahun 2017 kepada Presiden Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Johot, Rosli Kasmin pada Majlis Perhimpunan JKKK Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 16 JANUARI 2017.

JOHOR BAHRU – Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus mendapat pengiktirafan kerajaan apabila pelbagai inisiatif diperkenalkan dalam memperkasakan golongan itu pada masa depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JKKK kini diberikan kerja-kerja baik pulih projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) untuk dilaksanakan secara gotong-royong tanpa melibatkan kontraktor luar.

Jelas beliau, peruntukan dengan had maksimum RM100,000 itu disalurkan secara pemberian terus kepada JKKK selaku peneraju luar.

“Pada masa sama, peranan JKKK turut diperluaskan sebagai pemantau pembangunan di peringkat kampung termasuk memantau dan membantu dalam projek pembinaan jalan-jalan kampung, pemasangan air dan elektrik selenggara longkang.

“JKKK juga selepas ini akan diberikan kad sebagai tanda pengenalan untuk berurusan secara langsung dengan jabatan dan agensi kerajaan mengenai hal ehwal pembangunan kampung.

“Selain itu, kerajaan juga sedang menimbang peningkatan elaun untuk setiausaha dan ahli jawatankuasa JKK dan pemberian perlindungan insurans ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan JKKK Negeri Johor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu JKKK kini memainkan peranan penting kerana kekuatan kerajaan bergantung kepada golongan itu.

Tambahnya, JKKK hari ini merupakan suara rasmi kerajaan dalam menyampaikan maklumat setiap program pembangunan serta menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

“JKKK amat penting hari ini kerana kekuatan kerajaan bergantung kepada mereka. JKKK ibarat akar kerana jika akar tidak kuat, besar mana pokok, cantik mana daun pun, pokok akan tumbang.

“Jadi JKKK kini bukan sekadar pengerusi mesyuarat sahaja tetapi menjadi mata telinga dalam usaha menyampai dasar kerajaan dengan menangkis fitnah pembangkang yang semakin berleluasa,” katanya. – MalaysiaGazette