KUALA LUMPUR – Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) memperuntukkan RM60,000 kepada keluarga artis yang memerlukan bantuan sempena Tahun Baru Cina kali ini.

Pengurus Besar YA1M, Lisza Abd. Kadir berkata, kali ini pihaknya menyalurkan bantuan kepada artis yang telah menjangkau usia 60 tahun.

“Bersandarkan kepada faktor usia 60 tahun ke atas, sama ada masih sihat atau pun mengalami masalah kesihatan, secara automatik artis-artis ini layak menerima wang sumbangan sebanyak RM2,000 sekali seumur hidup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Lisza, sumbangan kali ini yang kelima buat YA1M sejak ia ditubuhkan pada tahun 2012.

YA1M ditubuhkan khususnya untuk menjaga kepentingan artis-artis yang jatuh sakit, memerlukan bantuan dan ditimpa kemalangan.

“YA1M badan yang membantu anak-anak seni tanahair dan memberikan keutamaan kepada golongan artis yang mencecah 60 tahun ke atas dan yang uzur dan memerlukan bantuan perubatan.

“Seperti biasa di setiap majlis sumbangan anjuran YA1M untuk mana-mana hari perayaan, golongan artis pelbagai kaum dan bangsa tetap akan diutamakan.

“Mereka adalah penyanyi, pelakon dan juga pemuzik tanahair,” ujarnya lagi.

Pada hari ini, katanya, seramai 30 artis akan menerima sumbangan termasuk sumbangan termasuk perayaan Krismas yang lepas.

Pada hari ini juga, katanya, YA1M akan menyampaikan wang khairat dan badal haji kepada wakil-wakil ahli khairatnya dalam kalangan penggiat seni telah meninggal dunia.

“Program khairat YA1M ini bukan sahaja menguruskan jenazah bagi yang beragama Islam tetapi imbuhan berbentuk wang tunai juga kami adakan termasuk sekiranya berlaku kemalangan, maka penggiat seni itu sendiri akan diinsurankan sebanyak RM10,000,” katanya.

Program Khairat YA1M ini terbuka kepada semua golongan penggiat seni tidak mengira agama termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir.-MalaysiaGazette