Papan iklan yang memaparkan dua gadis Muslim berhijab terpaksa diturunkan berikutan syarikat pengiklanan menerima ancaman.

SYDNEY – Papan iklan Australia Day (Hari Australia) memaparkan dua gadis Muslim berhijab yang diturunkan hari ini akan dipasang semula selepas projek mengumpul dana mendapat sokongan penduduk negara itu.

Pengarah Kreatif Eksekutif Campaign Edge yang berpangkalan di Sydney, Dee Madigan mewujudkan halaman GoFundMe dengan sokongan diterima daripada anti-Islamofobia anjuran Mariam Veiszadeh.

Madigan yang berkata bahawa beliau tidak mempunyai hubungan dengan dua gadis itu menulis dalam halaman GoFundMe: “Kumpulan yang sama membuat aduan ‘Muslim tidak mengasimilasikan, membuat aduan mengenai gambar Muslim Australia menyambut Australia Day.

“Berikutan tekanan ini, papan iklan itu diturunkan. Jika anda atau perniagaan anda berpendapat ini tidak OK, tolong bantu kami membiayai papan iklan dan kempen mencetak yang memaparkan dua gadis mempromosi Australia Day,” lapor The New Daily.

Pada awalnya, kempen itu mensasarkan sumbangan A$50,000 namun ia mencecah A$100,000 dalam tempoh 24 jam pertama selepas dilancarkan.

hijab ad2

Madigan memberitahu ABC bahawa beliau mendapat ilham melancarkan kempen ‘selepas berbual dengan beberapa rakan malam semalam, Muslim dan bukan Muslim, kita perlu memutus bahawa yang sudah, sudahlah’.

“Kami telah mula menempah, saya rasa kami telah menempah, mencetak iklan bermula esok, iklan cetak semuka penuh dan kami juga melihat kepada papan iklan dan berharap (dipasang) di semua bandar besar.

“Orang pertama yang menderma ialah Tiyce Lawyers (syarikat guaman). Ia diketuai Michael Tiyce yang merupakan Presiden Parti Liberal cawangan Sydney timur.

“Apa yang bagus mengenainya ialah kami cuba berkata ‘Ini bukan Parti Buruh, ia bukannya haluan kiri, ada banyak warga Australia yang baik’,”.

Papan iklan elektronik Australian Day diturunkan di tenggara Melbourne selepas pengendalinya menerima ugutan bunuh daripada kumpulan anti Islam.

Veiszadeh memberitahu Fairfax Media bahawa beliau telah menghubungi keluarga gadis-gadis tersebut yang imej mereka digunakan pada papan iklan dan mereka sedih terhadap tindak balas Islamofobia.

Veiszadeh berkata, dia mahu menghantar mesej kepada mereka dan gadis-gadis Muslim lain supaya ‘berbangga dengan siapa anda dan berbangga dengan identiti anda’,.

“Malangnya kita lihat banyak xenophobia (perasaan takut dan benci terhadap orang asing) hari ini, tiada kumpulan minoriti terkecuali. Sesetengah boleh menghadapinya berbanding yang lain, dan kita semua perlu bersatu,” katanya.

Madigan berkata beliau telah menerima beberapa emel yang teruk memberitahu ABC: “Saya menerima emel yang teruk, tweet yang teruk dan muat naik yang teruk. Tiada ancaman diterima lagi,”.

“Tetapi saya tidak kisah. Mereka boleh dijauhkan. Saya tidak akan berundur,”.

Sementara itu, Menteri Imigresen Australia, Peter Dutton memberitahu stesen radio Melbourne, 3AW, bahawa beliau berpendapat papan iklan tersebut adalah hebat.

“Saya rasa ia hebat, kita peroleh budak lelaki dan perempuan daripada apa sahaja latar belakang yang mendokong nilai-nilai Australia, mengibarkan bendera Australia, bangga menjadi warga Australia, bangga menjadi sebahagian daripada masyarakat kita, mahu menjadi sebahagian daripada masa depan yang aman di negara ini,”.

“Mereka semua ini adalah nilai yang kita semua dokong,”

“Manusia mempunyai elemen yang berlainan terhadap pakaian dan budaya yang mereka dokong,” katanya.

“Saya berpendapat apa yang warga Australia harapkan daripada kita semua yang mempunyai latar belakang pendatang ialah pada akhirnya kita menghormati budaya daripada negara asal tetapi kita mendokong nilai-nilai Asutralia,”.

Sehingga pagi ini, halaman GoFundMe telah meraih A$130,000. – MalaysiaGazette