Syed Saddiq Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Sultan Johor mengadakan pertemuan supaya konflik yang berlaku antara mereka dapat dirungkai.

Ketua ARMADA yang merupakan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertemuan empat mata itu dilihat jalan penyelesaian terbaik.

“Perbezaan pendapat di antara pemimpin adalah perkara biasa akan tetapi perbezaan pendapat ini mampu diselesaikan secara baik,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, Syed Saddiq membantah cadangan supaya Tun M yang juga Pengerusi PPBM ditahan kerana kenyataannya mengenai Forest City kerana bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada fakta daripada laman berita Bloomberg.

“Justeru itu, adalah amat tidak wajar jika Tun M ditahan kerana kenyataan terbaharu beliau itu. Ini tidak sama dengan kes kes penyelewengan wang rakyat yang dilakukan oleh ahli politik,” ujarnya lagi.

Beliau dalam masa yang sama, menentang sekeras-kerasnya penggunaan kata-kata kesat terhadap Sultan Johor oleh sesetengah penyokong PPBM terhadap isu ini.

Syed Saddiq juga memaklumkan permintaan sesetengah pihak yang mahu dirinya memilih antara Tun M dan Sultan Johor juga tidak timbul.

Bagaimanapun timbul persoalan apabila berlaku krisis Tun M dengan Sultan Johor, Syed Saddiq tidak berpihak namun apabila Tengku Mahkota Johor mengkritik Tan Sri Annuar Musa, Syed Saddiq jelas turut ‘menghentam’ Ketua Penerangan UMNO itu.-MalaysiaGazette