Pasukan kebangsaan Timor Leste

KUALA LUMPUR – Pasukan bola sepak Timor Leste dilarang bertanding dalam kejohanan Piala Asia 2023 kerana didapati memalsukan dokumen beberapa pemain kelahiran Brazil, kata Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini.

Pada Jun tahun lalu, AFC melancarkan siasatan mengenai kelayakan pemain-pemain tertentu selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu.

Menurut kenyataan AFC, siasatan itu mengenalpasti 12 pemain bola sepak kelahiran Brazil yang berdaftar dalam Sistem Pentadbiran AFC dengan sijil kelahiran Timor Leste yang palsu.

“Dokumen ini telah diserahkan kepada AFC untuk menunjukkan bahawa pemain bola sepak itu layak mewakili pasukan FFTL (Persatuan Bolasepak Timor Leste) dengan seorang atau kedua-dua ibubapa mereka dilahirkan di Timor Leste. Maklumat ini didapati telah dipalsukan,” kata kenyataan itu.

Sembilan pemain bola sepak itu telah beraksi dalam 29 perlawanan anjuran AFC dan tujuh perlawanan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kesemua 29 perlawanan di bawah AFC dibatalkan selain Timor Leste didenda sebanyak AS$56,000.

“Siasatan ini tidak mendapati kesahihan kewarganegaraan Timor Leste oleh pemain bola sepak itu. Ia merupakan soalan kepada pihak berkuasa Timor Leste,” tambahnya.

FFTL juga didenda sebanyak AS$20,000 manakala jawatankuasa disiplin AFC menggantung Setiausaha Agung FFTL, Amandio de Araujo Sarmento selama tiga tahun.

Pegawai FFTL yang lain didenda sebanyak AS$3,000 kerana mengganggu saksi, kata AFC. – MalaysiaGazette