Ab. Aziz Kaprawi

SERI KEMBANGAN – DAP dalam keadaan terdesak untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), apabila tiba-tiba mengajak Pas bekerjasama.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Aziz Kaprawi berkata, beliau yakin tidak semudah itu untuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbaik semula dengan DAP kerana sejarah dua tahun lalu cukup memberi kesan kepada kepimpinan Pas keseluruhannya.

Katanya, beliau bersetuju dengan syarat dikenakan Pas iaitu kalau mahu parti itu bersama semula dalam Pakatan Harapan (PH), mereka mesti mengikut arah tuju Pas.

“Sebelum ini PH cakap besar dapat menumbangkan BN pada PRU 14, tetapi akhirnya sudah nampak temberang mereka, yang masih dalam keadaan lemah atau belum bersedia menghadapi pilihan raya umum melawan BN.

“Pas pula tidak semudah itu menerimanya kerana dua kali telah dikhianati parti yang sama iaitu DAP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baru Cina peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2017 di Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Kelmarin, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dilaporkan menghulurkan salam perdamaian kepada Pas dengan matlamat utama untuk “menyelamatkan Malaysia” dari kleptokrasi.

Beliau dilaporkan berkata, salam perdamaian itu adalah ikhlas dan bukan hanya sekadar tindakan berpura-pura.

Menurut Aziz, selepas keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dua tahun lalu, Pas kini semakin matang dan mengambil sikap berhati-hati dengan sebarang bentuk ajakan terutama dari DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Mengenai dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bahawa BN akan berpecah jika pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan, kata Aziz, parti komponen itu seharusnya memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkaitan perihal akta berkenaan.

“Saya rasa Tiong Lai belum faham mengenai RUU355. Ini adalah akta sedia ada dan tidak ada sebab kenapa MCA menolaknya.

“Dalam hal ini, semua parti komponen BN perlu serahkan kepada Presiden BN untuk menjelaskannya,” katanya. – MalaysiaGazette