LONDON – Bekas pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard menyifatkan Wayne Rooney sebagai pemain luar biasa yang pernah dimiliki oleh Manchester United.

Dia berkata, penyerang United itu sukar untuk dicari ganti untuk beberapa tempoh tahun akan datang.

“Anda bercakap tentang pemain bola sepak luar biasa dan orang yang luar biasa juga.

“Apa yang dia lakukan dalam permainan, Liga Perdana Inggeris dan negara adalah tidak lain dan tidak bukan nilainya cukup besar.

“Dia berhak mendapat pujian. Orang akan menyedari betapa luar biasanya Rooney dan ramai akan benar-benar sedih kalau dia pergi.

“Peminat Manchester United harus menikmati dan sokong kepadanya ketika beliau berada di sini kerana mereka akan mendapati ia amat sukar untuk mencari pengganti,” katanya kepada BT Sport.

Rooney kini menjadi penjaring gol terbanyak United sepanjang zaman dan telah diberi penghormatan oleh Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) pada majlis khas di London, kelmarin.

Beberapa wartawan terbaik sukan telah berkumpul di The Savoy Hotel untuk memberi penghormatan kepada ketua pasukan United itu yang memecahkan rekod lama Sir Bobby Charlton dengan gol penyamaan pada minit akhir menentang Stoke City, pada Sabtu lalu dengan menjaringkan gol ke-250 untuk kelab itu. – MalaysiaGazette