Ketidaktentuan ekonomi antara faktor pengambilan pekerjaan atas talian lembap. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia menyaksikan pengambilan pekerjaan atas talian yang lembap pada tahun 2016 selepas merosot 5.0 peratus pada Disember, dijangka berterusan pada tahun ini.

Monster Employment Index (MEI) di Malaysia berkata, keseluruhan pengambilan pekerjaan pada tahun lalu jatuh 28 peratus dalam perbandingan tahun ke tahun.

Kemerosotan paling ketara dalam pengambilan pekerjaan pada tahun lalu berlaku pada bulan Februari dengan rekod 39 peratus.

Pengambilan pekerjaan lembap pada bulan Februari tahun lalu itu melibatkan semua sektor pekerjaan.

Pada bulan-bulan berikutnya, pengambilan pekerjaan turun naik sebelum trendnya lemah pada suku keempat.

Secara purata, Malaysia menyaksikan penurunan pengambilan pekerjaan 15 peratus pada tahun lalu.

“Pengambilan pekerjaan atas talian yang lembap sejak beberapa bulan, dijangka kekal sehingga separuh pertama tahun 2017.

“Situasi ini dipacu faktor-faktor luaran termasuk ketidaktentuan ekonomi dan pengaruh penurunan industri minyak, selain nilai ringgit yang lemah, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada pasaran buruh,” kata Pengarah Urusan Monster.com (APAC dan Timur Tengah), Sanjay Modi.

Tambah Modi, bukan sepanjang tahun 2017 akan menyaksikan suasana suram kerana data MEI pada bulan Disember dan November menunjukkan paras kelembapan yang perlahan.

Sektor teknologi yang menjadi fokus kerajaan pada tahun ini melalui pelaksanaan polisi dan peluang mesra teknologi akan menyaksikan peluang-peluang dalam sektor ini.

Perniagaan Malaysia juga dijangkakan meningkatkan gaji, pendapatan dan pengambilan pekerjaan pada tahun ini. – MalaysiaGazette